Kanak-kanak empat tahun putus jari akibat mercun

LocalFamily & Parenting
16 Mar 2026 • 4:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mangsa dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani untuk rawatan lanjut.

SUNGAI PETANI – Seorang kanak-kanak lelaki cedera parah selepas dipercayai bermain mercun di dalam rumah sehingga menyebabkan jari telunjuk tangan kirinya putus dalam kejadian di Kampung Tempoyak, Merbok di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, mangsa berusia empat tahun dipercayai membakar mercun ketika berada di dalam rumah sebelum bahan letupan berkenaan meletup secara tiba-tiba.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, letupan tersebut menyebabkan mangsa turut mengalami kecederaan pada kelopak mata kanan.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Merbok sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani untuk rawatan lanjut.

"Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada pihak hospital kira-kira jam 2.16 petang pada hari yang sama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar memantau aktiviti kanak-kanak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, terutama menjelang musim perayaan apabila penggunaan mercun sering meningkat.

"Orang ramai khususnya ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar tidak membenarkan kanak-kanak bermain mercun kerana perbuatan tersebut boleh mendatangkan bahaya serta menyebabkan kecederaan serius,” ujarnya.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut masih dijalankan.