Main mercun dalam rumah, budak 4 tahun putus jari telunjuk! Kes disiasat bawah Akta Kanak-Kanak 2001

LocalFamily & Parenting
16 Mar 2026 • 11:58 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available
Kiri - Gambar hiasan

TRAGIS! Hanya beberapa hari lagi menjelang hari raya, namun si kecil berusia empat tahun ini kehilangan upaya kekal gara-gara mercun.

Kanak-kanak lelaki cedera parah selepas dipercayai bermain mercun di dalam rumah sehingga menyebabkan jari telunjuk tangan kirinya putus dalam kejadian di Kampung Tempoyak, Merbok.

Memetik Sinar Harian,  kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu berlaku apabila kanak-kanak berkenaan dipercayai membakar mercun ketika berada di dalam rumah.

Ketika itu bahan letupan berkenaan meletup secara tiba-tiba.

Susulan letupan, tidak hanya putus jari, si kecil berkenaan mengalami kecederaan pada kelopak mata kanan.

image is not available
Gambar hiasan

 Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kanak-kanak berkenaan  dibawa mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Merbok sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani untuk rawatan lanjut.

"Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada pihak hospital kira-kira jam 2.16 petang pada hari yang sama," katanya.

Polis turut menasihatkan masyarakat agar mengawasi kanak-kanak bagi mengelakkan insiden tidak diingini, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan yang menyaksikan peningkatan penggunaan mercun.

"Orang ramai terutama ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar tidak membenarkan kanak-kanak bermain mercun kerana perbuatan tersebut boleh mendatangkan bahaya dan menyebabkan kecederaan serius,” ujarnya.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sekadar info,  Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, mana-mana penjaga termasuklah ibu bapa kanak-kanak tersebut yang yang menganiayai, mengabai, membuang, atau mendedahkan kanak-kanak itu kepada bahaya atau bertindak cuai, boleh dikenakan hukuman sehingga RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Masyarakat terutamanya ahli keluarga perlu dididik untuk sentiasa cakna dengan keadaan ahli keluarga mereka dari kalangan kanak-kanak.

Sumber: Sinar Harian