
PUTRAJAYA – Kerajaan menggalakkan kanak-kanak seawal usia enam tahun untuk memulakan persekolahan dengan memasuki Tahun Satu bermula tahun hadapan, selaras usaha memperkukuh sistem pendidikan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagaimanapun tidak diwajibkan dan masih memberi ruang kepada ibu bapa untuk membuat pertimbangan berdasarkan tahap kesiapsiagaan anak masing-masing.
Menurut beliau, kanak-kanak berusia tujuh tahun masih dibenarkan memasuki Tahun Satu seperti sedia ada, namun ibu bapa digalakkan memastikan anak-anak yang lebih muda mendapat pendedahan awal menerusi pendidikan prasekolah.
Prasekolah Di Bawah Seliaan Kementerian Pendidikan
“Kita tetapkan masih boleh masuk darjah satu pada usia tujuh tahun, tetapi kita galakkan ibu bapa yang bersedia supaya anak-anak berusia lima tahun dimasukkan ke prasekolah.
“Jadi, sistem prasekolah itu kita minta Kementerian Pendidikan untuk ambil alih dan selaraskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 yang berlangsung di Putrajaya, hari ini.
Langkah berkenaan dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan asas pendidikan kanak-kanak diperkukuh sejak peringkat awal, selain menyeragamkan pelaksanaan sistem prasekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan. – The Malaysian Update
The post Kanak-Kanak Enam Tahun Digalak Masuk Tahun Satu Bermula Tahun Depan – PM appeared first on The Malaysian Update.

