Kanak-Kanak Hanyut Dalam Longkang Ditemukan Maut, Selepas Dua Hari Hilang

30 Apr 2026 • 5:04 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Kanak-Kanak Hanyut Dalam Longkang Ditemukan Maut, Selepas Dua Hari Hilang

SUNGAI BULOH – Pencarian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dilaporkan hanyut dalam longkang berarus deras sejak kelmarin berakhir dengan penemuan mayat dipercayai mangsa, hari ini.

Mayat mangsa, dikenali sebagai Khairil Izzani, ditemukan sekitar jam 1.10 tengah hari oleh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama bersama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dijumpa Selepas Dua Hari Operasi Mencari

Menurut maklumat operasi, jasad mangsa ditemui di kawasan Sungai Buloh menghala ke Ijok, kira-kira 10 kilometer melalui jalan darat atau enam kilometer melalui laluan sungai dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Ketua Zon 7 Selangor Utara JBPM Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, pencarian bermula dari parit berhampiran Masjid Taman Alam Jaya sebelum operasi diperluaskan sejauh kira-kira lima kilometer sehingga ke sungai berkenaan.

“Pasukan bomba PPDA bersama PBS Saujana Utama telah menemui mangsa selepas memulakan pencarian dari pusat kawalan bomba (PKB),” katanya ketika ditemui di lokasi operasi pada Khamis lapor Sinar Harian.

Beliau turut memaklumkan, mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian, memakai baju cerah dan seluar hitam.

Mayat Dihantar Ke Unit Forensik

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital UiTM Puncak Alam untuk tujuan bedah siasat.

Kes telah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Insiden ini sekali lagi menjadi peringatan kepada orang ramai, khususnya ibu bapa, agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutama ketika musim hujan dan keadaan arus air yang deras. – The Malaysian Update

The post Kanak-Kanak Hanyut Dalam Longkang Ditemukan Maut, Selepas Dua Hari Hilang appeared first on The Malaysian Update.