
LEBIH 36 jam gagal dikesan, pencarian Khairil Izani Khaizalullinudin, 10, yang dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus deras di Bandar Puncak Alam sejak tiga hari lalu menemui noktah apabila mayat yang dipercayai miliknya ditemukan meninggal dunia di tebing sungai di Sungai Buloh pada Khamis.

Memetik Sinar Harian, mayat berkenaan ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian, masih berbaju cerah dan memakai seluar hitam pada jam 1 tengah hari dan dibawa ke Unit Forensik Hospital UiTM bagi tujuan bedah siasat.
Menurut Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani, jarak dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh dianggarkan sekitar 10 kilometer.

"Pasukan bomba PPDA bersama PBS Saujana Utama telah menemui mangsa di Sungai Buloh menghala ke Ijok selepas memulakan pencarian dari pusat kawalan bomba (PKB).
"Pencarian bermula dari parit berhampiran Masjid Taman Alam Jaya sebelum bergerak kira-kira lima kilometer sehingga ke sungai berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi operasi pada Khamis.
Kes berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.





