Kanak-Kanak Hilang Di Bon Odori: 2 Lelaki, 1 Wanita Ditahan

23 Jul 2024 • 8:06 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kehilangan mangsa disedari bapanya sekitar jam 8.30 malam - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR - Dua lelaki dan seorang wanita ditahan susulan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan ketika menghadiri festival Bon Odori di Johor, Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, kesemua suspek yang berusia antara 28 hingga 55 tahun ditahan di Gelang Patah, Iskandar Puteri.

Menurut beliau, penahanan mereka dibuat jam 1.30 tengah hari semalam.

“Mereka akan direman hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah,” katanya.

image is not available
M Kumar - Gambar Polis Johor

Jelas Kumar, mangsa ketika ini masih belum ditemui.

Beliau pada masa sama turut menasihatkan orang ramai membuat sebarang spekulasi hingga menjejaskan siasatan yang sedang berjalan.

“Jika anda mempunyai sebarang maklumat, boleh salurkan menerusi talian hotline polis Johor  iaitu 019-2792095 atau bilik gerakan 07-2212999,” katanya.

Kehilangan kanak-kanak terbabit disedari bapanya sekitar jam 8.30 malam ketika mereka menghadiri festival Bon Odori di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri. 

Dia kali akhir dilihat mengenakan baju T berwarna putih yang memiliki gambar ‘Mickey Mouse’ di bahagian dada dan berseluar pendek.

Sejak Jumaat, Eco Galleria sesak dengan kehadiran pengunjung yang mahu menghadiri festival Bon Odori.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Khairin-Nisa Ismail@Md On berkata, orang ramai diseru menyalurkan maklumat mengenai kehilangan mangsa kepada Talian Kasih 15999.

Katanya, mereka juga boleh menggunakan aplikasi WhatsApp di nombor 019 2615 999 untuk berkongsi maklumat atau menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berhampiran. - Getaran, 23 Julai 2024