Kanak-kanak Lelaki Ditemui Maut Dengan Kesan Dera, Ibu & Teman Lelaki Ditahan

31 Jul 2023 • 3:50 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun ditemui maut di sebuah rumah yang terletak di Assam Kumbang, Taiping, Perak semalam.

Menurut laporan Buletin TV3, polis hari ini mengesahkan terdapat kesan penderaan pada mayat kanak-kanak lelaki itu.

Susulan kepada penemuan itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata ibu mangsa berusia 36 tahun serta teman lelakinya juga berusia 30-an ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.

image is not available

“Laporan forensik PDRM mendapati ada unsur penderaan kepada si mati. Pihak polis percaya kes penderaan itu berlaku sejak Mac lalu.

Ibu kanak-kanak itu mengalami masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian dengan suaminya,” katanya.

Menurutnya lagi, siasatan akan diteruskan dan pasangan itu kini masih dalam tahanan reman di Mahkamah Taiping untuk siasatan yang merujuk kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, sepasukan anggota polis dan sebuah ambulan dari Hospital Taiping segera dikejarkan ke tempat kejadian semalam dan kemudian mengesahkan bahawa kanak-kanak itu telah meninggal dunia.

Pihak polis menerima maklumat kematian kanak-kanak berusia 9 tahun itu kira-kira jam 11 pagi semalam.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.