Kanak-kanak lelaki kritikal, tercekik gummy eyeball

LocalHealth & Fitness
19 Feb 2025 • 3:45 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan kritikal selepas dipercayai tercekik sejenis gula-gula kenyal atau lebih dikenali sebagai gummy eyeball yang dibeli di gerai di luar kawasan sekolah.

Kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Mohamad Fahmi rebah di Kelas Al-Quran dan Fardhu ‘Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth petang semalam sebelum guru menghubungi ambulans.

Memetik laporan dari Berita Harian, Fahmi kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Pulau Pinang.

Ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri berkata, doktor memaklumkan Fahmi masih tidak menunjukkan sebarang perkembangan.

“Doktor beritahu sekiranya dia tidak tunjukkan maklum balas sehingga Jumaat ini, semua ubat akan dihentikan.

“Kami berserah kepada Allah SWT dan menyerahkan urusan rawatan kepada pihak hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Farhani turut memaklumkan, ketika insiden berlaku, guru ada membuat panggilan video dengan pasukan perubatan yang meminta memeriksa mulut Fahmi dan kemudiannya menemukan gula-gula tersebut di dalam tekak.