Belum Sedarkan Diri Lagi, Murid 10 Tahun Kritikal Tercekik Makan Gula-gula ‘Gummy Mata’

Entertainment
19 Feb 2025 • 4:47 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang murid lelaki kini dilaporkan sedang kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas tercekik gula-gula kenyal atau gummy berbentuk mata.

Kejadian malang itu dimaklumkan oleh ibu saudara kepada budak lelaki tersebut yang dikenali sebagai Fara Hani di Facebook.

Tercekik gula-gula gummy mata

Menurut Hani, Mohamad Fahmi yang berusia 10 tahun itu dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri selepas makan gula-gula gummy berbentuk mata yang dibeli di luar kawasan sekolah.

“Ya Allah semoga ada keajaiban buat Mohamad Fahmi Hafiz, anak buah Hani iaitu anak kepada abang dan kakak.

“Fahmi dalam keadaan kritikal di PICU GH dan masih tak sedarkan diri.

“Kejadian berlaku akibat terlekat coklat gummy (mata bulat). Dia beli di gerai luar sekolah waktu kelas KAFA tanpa pengetahuan semua,” tulisnya.

image is not available

Justeru, Hani berharap berlakunya keajaiban serta memohon orang ramai untuk mendoakan agar anak saudaranya itu kembali sedarkan diri seperti sedia kala.

Sementara itu, doktor melaporkan kanak-kanak itu masih tidak menunjukkan sebarang perkembangan lagi.

Katanya, sekiranya kanak-kanak itu tidak menunjukkan maklum balas sehingga Jumaat ini, semua ubat akan dihentikan.

image is not available

Difahamkan, kejadian disedari guru sekolah terbabit yang melihat Fahmi tersedak sebelum mahu ke tandas.

Ketika berjalan ke tandas, kanak-kanak itu terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum guru menghubungi ambulans.

“Guru ada buat panggilan video dengan pasukan perubatan yang meminta beliau memeriksa mulut Fahmi sebelum menemukan gula-gula terbabit dalam tekak kanak-kanak itu.

“Ketika menerima pakaian Fahmi dari pihak hospital, kami dapati sebiji lagi gula-gula itu dalam poket bajunya,” kata Hani.

Sementara itu, ibu bapa kanak-kanak terbabit enggan mengulas kejadian buat masa ini.

Semoga adik Fahmi diberikan kesembuhan.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.