Kanak-kanak lelaki tujuh tahun ditemukan lemas

20 Jan 2025 • 4:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemukan lemas di kawasan anak sungai di Jalan Beris Lalang, Kampung Mujur, Bachok pada Isnin. - Foto JBPM

BACHOK - Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun ditemukan lemas di kawasan anak sungai di Jalan Beris Lalang, Kampung Mujur dekat sini pada Isnin.

Mayat kanak-kanak lelaki itu ditemukan pada jam 1.01 tengah hari oleh anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Abdul Rashid Adb Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11:02 pagi.

"Seramai 12 anggota dari tiga balai iaitu Bachok dan pasukan penyelamat di air (PPDA) Pengkalan Chepa serta Machang telah ke lokasi untuk tujuan SAR," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, pihaknya tiba di lokasi yang terletak 13 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok pada jam 11. 21 pagi.

Tambahnya, bomba menggunakan kaedah SAR dan carian di permukaan untuk mengesan mangsa sebelum ditemukan pada jam 1.01 tengah hari.