Kanak-kanak lemas ketika mandi di Pantai Kandis

31 Jan 2025 • 10:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mangsa cuba diberi bantuan pernafasan sebaik ditemukan.

image is not available
Mangsa ditemukan namun disahkan meninggal dunia.

image is not available
Lokasi mangsa lemas di Pantai Kandis, Bachok.

BACHOK - Seorang kanak-kanak lelaki lemas manakala tiga lagi sepupunya terselamat ketika mandi di Pantai Kandis di sini pada Jumaat.

Mayat mangsa, Ahmad Ammar Rafaeil Ahmad Ridtauden, 9, ditemukan pada jam 7.25 malam dalam jarak satu kilometer (km) dari tempat terakhir dikatakan lemas.

**media[2989632]**

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Pengawai Bomba Kanan II KUP, Yusri Mat Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.11 petang berhubung kejadian itu dan tiba di lokasi pada jam 6.31 petang untuk operasi mencari serta menyelamat mangsa.

“Kejadian lemas berlaku di pantai terbabit melibatkan mangsa yang mandi bersama tiga lagi sepupu.

“Seorang mangsa tidak dapat menyelamatkan diri kerana ombak dan arus deras manakala lain-lain terselamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

**media[2989634]**

Menurut beliau, sebaik dijumpai, mangsa yang lemas dibawa ke tepi pantai dan diberi bantuan pernafasan.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

“Operasi pencarian yang dilakukan oleh lapan anggota dari BBP Bachok dan dibantu unit Pasukan Penyelamat di Air Pengkalan Kubur tersebut ditamatkan,” katanya.

Difahamkan, tiga yang terselamat membabitkan kanak-kanak berusia lapan, 10 dan seorang remaja berusia 15 tahun.