Kanak-Kanak Maut Dilanggar Van Di Hadapan Sekolah

6 May 2026 • 7:18 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Kanak-Kanak Maut Dilanggar Van Di Hadapan Sekolah

BATU PAHAT: Seorang pemandu van warga emas ditahan polis selepas terlibat dalam kemalangan maut yang meragut nyawa seorang murid perempuan berusia lapan tahun di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Maimon, tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari ketika mangsa, murid Tahun 2, sedang berjalan kaki di hadapan pintu pagar utama sekolah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati van dipandu lelaki tempatan berusia 60 tahun itu baru sahaja selesai menghantar barangan di dalam kawasan sekolah sebelum bergerak keluar menuju ke Jalan Simpang Lima–Parit Sulong.

“Ketika melalui pintu pagar utama, kenderaan tersebut dipercayai melanggar mangsa yang berada di laluan hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Remuk Di Kepala, Maut Di Lokasi

Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta organ dalaman dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Sulong.

Pemandu van berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan namun telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Terdahulu, mangsa, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, dilaporkan baru sahaja tamat sesi persekolahan dan sedang dalam perjalanan pulang bersama rakan-rakan sebelum kejadian tragis itu berlaku.

Insiden tersebut mencetuskan suasana pilu dalam kalangan warga sekolah dan orang awam yang berada di lokasi kejadian. – The Malaysian Update

The post Kanak-Kanak Maut Dilanggar Van Di Hadapan Sekolah appeared first on The Malaysian Update.