
KAJANG - Tragedi menyayat hati yang meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di Sungai Ramal, Rabu lalu, dipercayai berpunca daripada kecuaian selepas mangsa terminum cecair metadon milik bapanya.
Dalam kejadian kira-kira tengah hari itu, mangsa bersama dua adik-beradiknya dipercayai berada di rumah sebelum meminum cecair berkenaan yang disimpan untuk tujuan rawatan.
Ketiga-tiga mereka kemudiannya mengalami simptom keracunan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala dua lagi adik-beradiknya masih dirawat dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil serta menunjukkan perkembangan positif.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati metadon tersebut adalah milik bapa mangsa dan diperoleh daripada sumber sah bagi tujuan rawatan.
“Berhubung kes metadon di Kajang yang melibatkan seorang kanak-kanak, siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah, sebaliknya lebih kepada kecuaian.
“Ubat tersebut adalah milik bapa kanak-kanak berkenaan untuk tujuan rawatan dan dipercayai berlaku kecuaian ketika penggunaannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan kejadian, kedua-dua ibu bapa kanak-kanak terbabit telah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Keduanya bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.
Shazeli berkata, polis masih meneruskan siasatan termasuk meneliti aspek penyimpanan ubat.
“Kami juga sedang meneliti tahap pengawasan terhadap kanak-kanak di rumah ketika kejadian berlaku,” katanya. - Getaran, 14 Februari 2026


