Kanak-kanak parah, bayi hilang dibaham buaya

1 Dec 2022 • 1:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pencarian seorang lagi mangsa di perairan Markas Operasi PPM sedang dilakukan di Lahad Datu.

LAHAD DATU - Seorang kanak-kanak parah manakala seorang bayi berusia setahun hilang dipercayai dibaham buaya dalam kejadian di perairan Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin (PPM) di sini pada Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, kejadian dilaporkan pada jam 10.25 pagi dan seramai enam anggota dikejar ke lokasi kejadian.

"Menurut saksi, ketika kejadian dua mangsa terlibat disambar buaya ketika sedang mendayung perahu di kawasan perairan.

"Seorang mangsa kanak-kanak lelaki (usia belum dikenal pasti) berjaya diselamatkan oleh orang awam manakala bayi berusia satu tahun belum ditemui," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa yang diselamatkan segera dihantar ke Hospital Lahad Datu dengan menggunakan ambulans.

"Mangsa cedera di bahagian kepala dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Usaha mencari seorang lagi mangsa sedang dilakukan dengan kaedah pencarian di permukaan atas air bersama PPM dengan menggunakan bot di kawasan mangsa dilaporkan dibaham buaya," katanya.