Kanak-kanak parah diserang buaya

11 Dec 2022 • 11:55 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mengalami cedera parah selepas diserang buaya berhampiran rumahnya di Kampung Air, petang Khamis lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 5.55 petang itu, mangsa dikatakan hendak turun ke bawah dari rumahnya untuk mengambil ayam ternakannya.

Namun ketika itu, sepupu mangsa yang berada di tempat kejadian telah melihat kelibat seekor buaya lalu menjerit dan memberikan amaran kepada mangsa.

Ketua Polis Daerah, ACP Rohan Shah Ahmad berkata, mangsa yang berlari untuk menyelamatkan diri cuba naik semula ke atas jambatan berhampiran rumahnya, namun buaya berkenaan sempat menyerang mangsa.

“Susulan serangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki sebelah kanan dan dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa menjalani pembedahan di bahagian tulang kaki yang didapati retak. Mangsa kini sedang menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil,” katanya, dalam kenyataan, Sabtu.

Menurut Rohan, pihak Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu telah mengenalpasti 28 lokasi sarang buaya di sekitar daerah ini di mana 13 daripadanya dikenalpasti di kawasan Lahad Datu, tiga di kawasan Tungku, lapan di kawasan Desa Kencana dan empat di Tambisan.

Katanya, kesemua maklumat ini disalurkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah serta Pejabat Pegawai Daerah Lahad Datu.

Pihaknya juga bersedia memberikan sebarang bentuk kerjasama kepada mana-mana agensi terbabit, untuk tujuan tindakan pembanterasan atau pencegahan yang bersesuaian dalam menangani reptilia ganas yang boleh mengancam keselamatan orang awam dan menjejaskan aktiviti harian mereka.

Dalam pada itu, Rohan turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan kewujudan dan kemunculan buaya terutamanya di kawasan-kawasan persisiran pantai, laut dan sungai di sekitar daerah ini.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.