
LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki yang sedang menaiki sampan bersama bapanya hilang selepas disambar buaya di perairan Pangkalan Marin, di sini, Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa dan bapanya sedang mendayung sampan di kawasan berkenaan sebelum disambar buaya.
Difahamkan, bapa mangsa yang berusaha menyelamatkan anaknya turut mengalami cedera parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 10.25 pagi.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa.
Sumsoa berkata, seorang mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam dan telah dihantar ke hospital kerana mengalami kecederaan parah.
Bagaimanapun, seorang lagi masih belum ditemui, katanya. “Pasukan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu telah menjalankan SAR di permukaan sejurus tiba di lokasi.
“Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tambahnya.
BUAYA yang memasuki pukat nelayan di Sipitang.
Sementara itu di SIPITANG, dua nelayan terkejut apabila mendapati seekor buaya terperangkap dalam pukat mereka.
Nelayan tersebut, Suhari Suhaili berkata kejadian itu berlaku sekitar tengah hari Rabu lalu di Kg Pasir Aru berdekatan dengan SMK Pengiran Omar.
“Kami ingatkan seekor ikan besar kerana pukat yang kami tarik terlalu berat, namun apabila pukat berjaya ditarik ke pantai kami terkejut dengan kelibat seekor buaya turut masuk dalam pukat kami.
“Kami tidak dapat mendekatinya kerana buaya itu agresif,” katanya.
Bagaimanapun, dia berkata buaya sepanjang 2.5 meter itu akhirnya terlepas juga apabila pukat diterbalikkan dan buaya itu terus meluru turun ke dalam laut.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sipitang Calvin Joe Jeafrey menasihatkan orang ramai agar tidak mandi atau berkelah sesuka hati, apa lagi untuk menangkap ikan mengunakan pukat pantai atau sebagainya kerana kehadiran buaya di kawasan tersebut.
“Buaya ini masih bebas dan dikhuatiri boleh menyerang sesiapa saja yang mandi atau menangkap ikan di pantai di sini,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

