
KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemui meninggal dunia dalam sebuah kenderaan di Tanah Putih, Gua Musang petang semalam.
Mangsa dipercayai tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia akibat strok haba pada jam 3.50 petang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi forensik mengesahkan punca kematian adalah akibat strok haba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR) di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Polis juga menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memastikan keselamatan dan pengawasan rapi terhadap anak-anak di bawah jagaan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian 09-9121222. - Getaran, 21 Oktober 2025




