
KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang menghidap penyakit jantung kongenital diterbangkan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan pakar segera dalam satu misi kecemasan bersepadu melibatkan agensi penyelamat dan pasukan perubatan.
Operasi pemindahan udara itu dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu dengan kerjasama unit udara agensi berkenaan bagi membawa pesakit, Ibrahim Fahri Muhammad Iskandar Irwan, ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Pesakit yang menerima rawatan rapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah sejak dilahirkan pada 2024 itu memerlukan pemindahan segera berikutan tahap kesihatannya yang semakin kritikal.
Pengarah JBPM Terengganu, Nor Mahathir Muhamad, berkata penerbangan ihsan itu dijalankan kira-kira jam 10.05 pagi kerana pemindahan melalui jalan darat berisiko tinggi kepada pesakit.
“Pesakit perlu berada dalam posisi meniarap bagi mengoptimumkan sistem pernafasan sepanjang perjalanan, sekali gus memerlukan pengendalian khusus,” katanya dalam satu kenyataan.
Misi tersebut turut diiringi pasukan perubatan terdiri daripada pakar neonatologi pediatrik, Dr Lew Wil Na dan Dr Hasmaiza Harun, bersama seorang jururawat neonatal terlatih bagi memastikan rawatan berterusan sepanjang penerbangan.
Menurut beliau, operasi tersebut menggunakan helikopter AW139 yang dikendalikan juruterbang JBPM dengan sokongan anggota penerbangan dan bomba yang menyelaras keseluruhan proses pemindahan dari berlepas hingga mendarat.
“Pesakit selamat mendarat di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia sebelum dibawa ke IJN untuk rawatan lanjut,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Hospital Sultanah Nur Zahirah memaklumkan operasi terbabit merupakan kerjasama pertama antara hospital berkenaan dengan unit udara JBPM bagi pemindahan pesakit berisiko tinggi.
Menurut hospital tersebut, usaha berkenaan amat penting bagi memastikan pesakit menerima rawatan segera yang berpotensi menyelamatkan nyawa.
Misi tersebut mencerminkan kepentingan koordinasi antara agensi dalam menangani kecemasan perubatan kritikal, khususnya bagi kes yang memerlukan intervensi pantas serta kemudahan rawatan khusus. - Getaran, 27 Mac 2026





