Kanak-kanak tanpa kewarganegaraan: Sekolah alternatif terima RM100,000

7 Apr 2023 • 1:07 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Kerajaan Negeri menyumbangkan RM100,000 kepada Pusat Bimbingan Alternatif Grace, satu-satunya sekolah bagi kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di negara ini yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

MP Tawau Lo Su Fui berkata, ini merupakan tahun kedua berturut-turut Kerajaan Sabah memberikan sumbangan kepada sekolah tersebut, selepas tahun lalu dengan jumlah sama.

Menurutnya, sumbangan itu jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menangani isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Sabah, khususnya di Tawau.

“Peluang mendapat pendidikan adalah hak semua orang dan usaha sekolah alternatif ini wajar diberikan perhatian, khususnya dalam menangani masalah sosial akibat tidak menerima pendidikan awal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan replika cek sumbangan RM100,0000 itu kepada Ahli Lembaga Pengelola merangkap duta Grace Training Centre, Lim Khoon Chin, di sini, pada Khamis.

Lo berkata, isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan bukan isu Tawau atau Sabah sahaja tetapi isu nasional yang mesti ditangani bersama demi masa depan negara.

Katanya, isu tersebut timbul kerana kesilapan ibu bapa yang tidak menguruskan dokumen anak-anak mereka, khususnya apabila tidak mendaftarkan perkahwinan dan akhirnya, anak menjadi mangsa.

Justeru, beliau berharap sekolah tersebut akan turut berbuat sesuatu untuk membantu pelajar mendapatkan dokumen pengenalan diri, terutamanya mereka yang layak mendapat status warganegara.

“Apabila mereka mempunyai dokumen diri, mereka akan dapat meneruskan pembelajaran, mendapat pekerjaan dan akhirnya boleh menyumbang kepada negara, bukannya menjadi beban kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata, sekolah tersebut yang wujud atas inisiatif Calvary Love Foundation, mula beroperasi pada 2010 dengan 34 murid sahaja dan sudah mengajar ribuan pelajar tanpa kewarganegaraan sejak penubuhannya.

“Tahun ini kita menerima 728 murid dan ramai lagi yang menunggu tempat tetapi kita tidak mampu menerima mereka kerana kekangan ruang dan tenaga pengajar,” katanya.

Menurutnya, sekolah yang terletak di Pekan Kinabutan, Batu 5 1/2 Jalan Apas itu berdaftar secara sah dengan KPM pada 2016 dan merupakan satu-satunya sekolah seumpama ini di Malaysia.

Beliau yang juga bekas Pengetua SM St Patrick berkata, pihaknya menerima semua kanak-kanak yang tiada dokumen dan tidak layak memasuki sekolah kerajaan tanpa mengira kaum dan agama.

“Pendidikan adalah hak asasi setiap anak di seluruh dunia… Kita kasihan melihat mereka (anak-anak tanpa kewarganegaraan) merayau di kawasan pasar ikan, jalanan dan bulatan jalan raya kerana tiada peluang ke sekolah. Perkara ini amat merugikan dan kita mahu menangani masalah sosial yang bakal berlaku jika mereka terus dibiarkan tanpa menerima pendidikan asas,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.