
YALA: Mayat seorang penjaga bangunan ditemukan secara tidak sengaja oleh sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain sorok-sorok di sebuah banglo di daerah Betong, Yala, Thailand kelmarin.
Polis, petugas perubatan dan pasukan penyelamat bergegas ke banglo empat tingkat itu selepas menerima laporan kejadian kira-kira pukul 8.30 malam.
Mangsa dikenali sebagai Natthaworn, 34, ditemukan terbaring di tangga menuju ke bumbung, dengan lengkap berpakaian baju-T kelabu dan seluar jeans biru.
Menurut penduduk setempat, kanak-kanak yang sedang bermain di bangunan itu merupakan individu pertama menyedari kewujudan mangsa sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada seorang rakannya.
Rakannya kemudian naik ke tingkat atas untuk memberikan bantuan, namun mendapati mangsa sudah meninggal dunia. Polis dan keluarga dimaklumkan mengenai perkara itu tidak lama kemudian.
Adik mangsa berkata, abangnya sebelum ini pernah cuba membunuh diri sebanyak dua kali ketika mereka masih tinggal di rumah lama, namun ahli keluarga berjaya menghalangnya pada kedua-dua kejadian tersebut.
Dia tidak menyangka abangnya akan melakukan cubaan sama selepas berpindah ke banglo berkenaan.
Menurutnya, abangnya jarang berkongsi mengenai kehidupan peribadi, namun keluarga mengetahui dia mengalami tekanan serta mempunyai masalah kesihatan yang sedia ada.
Mereka juga tinggal berasingan dan tidak mengetahui secara terperinci keadaan yang dilalui abangnya, lapor Amarin TV.- AGENSI
The post Kanak-kanak terjumpa mayat ketika main sorok-sorok appeared first on Utusan Malaysia.


