
KUALA LUMPUR - Suasana pilu menyelubungi perkarangan Hospital Rembau, Negeri Sembilan apabila ahli keluarga kepada kanak-kanak berusia dua tahun yang ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta, petang semalam, menunggu proses bedah siasat dijalankan.
Ibu bapa mangsa dilihat sukar mengawal emosi dan kerap menangis, manakala ahli keluarga serta kenalan terdekat cuba menenangkan pasangan itu dengan memberikan sokongan moral.
Terdahulu, ahli keluarga mangsa mula tiba di hospital kira-kira jam 11.45 pagi, namun difahamkan proses bedah siasat hanya bermula pada jam 2 petang di Unit Perubatan Forensik hospital berkenaan.
Sehingga petang tadi, proses bedah siasat masih dijalankan dan ahli keluarga terus menunggu untuk menuntut jenazah mangsa bagi urusan pengebumian.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, mengesahkan bedah siasat ke atas kanak-kanak itu bermula pada jam 2 petang bagi menentukan punca kematian.
Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan belum menetapkan jumlah saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan, sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.
“Buat masa ini, siasatan menjurus kepada wujudnya unsur kecuaian ibu bapa dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Semalam, media melaporkan bahawa ibu mangsa berusia 35 tahun yang bekerja di sebuah bank di Seremban hanya menyedari anaknya tertinggal di dalam kereta ketika hendak pulang ke rumah sekitar jam 5 petang.
Mangsa dipercayai berada bersendirian sejak jam 8 pagi selepas ibunya terlupa untuk menurunkannya di rumah pengasuh.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222. - Getaran, 28 Januari 2026

![[VIDEO] 'Jaga adik-adik, jaga mak' - Pesan terakhir pegawai VAT 69](https://cdn.newswav.com/img/topic/politics.jpeg)
