Kandungan patriotik kena kreatif, ‘masuk’ jiwa Gen Z

31 Aug 2026 • 8:21 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kandungan patriotik kena kreatif, ‘masuk’ jiwa Gen Z

PETALING JAYA: Pencipta kan­dungan perlu mengubah pende­katan menyemarakkan patriotis­me dengan meninggalkan kaedah konvensional, sebaliknya memanfaatkan trend, muzik dan video pendek yang lebih dekat dengan jiwa generasi Z (Gen Z).

Pempengaruh, Wan Nur Aqilah Shahirah Wan Lokman, 27, berkata, pendekatan santai, penggunaan video pendek, humor, muzik dan pengalaman sebenar mampu menjadikan kandungan patriotik lebih dekat dengan kehidupan golo­ngan muda.

Menurutnya, perkembangan platform seperti TikTok, Insta­gram dan Threads memberi ruang besar kepada pencipta kandungan untuk menyampaikan mesej patriotisme dalam bentuk yang lebih segar dan mengikut trend semasa.

“Pencipta kandungan boleh membina rasa bangga terhadap negara dengan menggunakan bahasa santai, video pendek, humor, muzik dan pengalaman sebenar.

“Contohnya, video trend transition menggunakan lagu-lagu patriotik negara kita boleh menarik minat dan menjentik rasa bangga dalam diri apabila setiap kali mendengar lagu patriotik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Wan Nur Aqilah berkata, pendekatan berkenaan penting ke­rana kandungan hiburan masih lebih popular dalam kalangan Gen Z berbanding kandungan berbentuk patriotisme.

Bagaimanapun, katanya, kan­dungan patriotik tetap berpotensi mendapat sambutan sekiranya disampaikan secara kreatif dan mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian mereka.

“Walaupun kita tahu kandu­ngan hiburan masih lebih popular kerana lebih santai dan mudah tular, kandungan patriotik yang disampaikan secara kreatif dan dekat dengan kehidupan harian tetap mampu menarik perhatian.

“Dengan adanya platform seperti TikTok, Instagram dan Threads, ia memudahkan Gen Z mendapatkan maklumat pada zaman sekarang,” katanya.

Menurutnya, kandungan men­genai makanan tempatan, budaya pelbagai kaum, loghat negeri, tempat menarik serta kisah kejayaan rakyat Malaysia antara tema yang berupaya menarik perhatian pengguna media sosial.

Katanya, kandungan sebegitu secara tidak langsung boleh membina rasa bangga terhadap identiti dan keunikan Malaysia.

“Bagi Gen Z, kandungan yang paling dekat dengan jiwa mereka ialah budaya, makanan dan kisah inspirasi rakyat.

“Sejarah juga boleh menarik jika disampaikan dalam bentuk video pendek, animasi atau penceritaan yang mudah difahami dan menarik perhatian Gen Z,” katanya.-UTUSAN.

The post Kandungan patriotik kena kreatif, ‘masuk’ jiwa Gen Z appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved