Kandungan 'soft porn' tular: Muslimat Pas gesa penguatkuasaan undang-undang tegas

LocalPolitics
20 Apr 2026 • 12:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kandungan 'soft porn' tular: Muslimat Pas gesa penguatkuasaan undang-undang tegas
Nuridah

SHAH ALAM - Penguatkuasaan undang-undang lebih tegas terhadap penyebaran kandungan tidak bermoral perlu dilaksanakan segera bagi memastikan insiden penularan kandungan berunsur soft porn di media sosial seperti yang tular sebelum ini tidak berulang.

Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia, Nuridah Salleh berkata, langkah drastik perlu diambil bagi membendung trend normalisasi aksi keterlaluan yang kini dilihat semakin berani ditonjolkan secara terbuka, sekali gus menggugat nilai murni dan tatasusila masyarakat di negara ini.

“DMPM menyeru beberapa langkah segera dilaksanakan antaranya penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas terhadap penyebaran kandungan tidak bermoral dan institusi pendidikan memperkukuh garis panduan etika dan program pembangunan sahsiah pelajar.

“Platform media sosial memperketat kawalan kandungan serta perlindungan terhadap pengguna. Selain itu, ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan aktif dalam pendidikan digital dan pemantauan berhemah,” katanya menerusi hantaran media sosial pada Isnin.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai rakaman video memaparkan aksi keterlaluan dalam sebuah pementasan teater yang berlangsung di Universiti Malaya (UM).

Video tersebut menunjukkan dua pelakon lelaki dan wanita melakukan babak intim di atas katil yang dianggap melampaui batas bagi sebuah institusi pengajian tinggi.

Pementasan yang diadaptasi daripada naskhah Asrama-Ra itu mencetuskan kemarahan netizen dan menyifatkan babak berkenaan tidak wajar dipertontonkan kepada khalayak.

Mengulas lanjut, Nuridah berkata, isu tersebut bukan sekadar melibatkan kebebasan individu, sebaliknya mencerminkan krisis nilai dan kemerosotan sifat malu dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, fenomena itu lebih merisaukan apabila ia turut dikaitkan dengan institusi pendidikan tinggi yang sepatutnya menjadi medan pembinaan ilmu dan sahsiah.

“Budaya mencari perhatian melalui paparan yang tidak selari dengan nilai kesopanan semakin dianggap normal dalam kalangan remaja dan wanita muda.

“Maruah wanita bukan bahan tontonan, bukan alat mendapatkan populariti, dan bukan komoditi untuk dinilai oleh pandangan umum,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan dakwah dan pendidikan secara berhikmah berbanding hanya memberi kecaman.

“Muslimat percaya wanita perlu dibimbing dengan hikmah, kasih sayang dan kefahaman, bukan semata-mata dengan kecaman dan penghukuman. Kita mahu membina, bukan sekadar menghukum.

“Kepada wanita muda, ingatlah bahawa maruah diri jauh lebih bernilai daripada perhatian sementara di alam maya. Gunakan media sosial sebagai platform menyebarkan ilmu, membina kredibiliti dan memperkukuh jati diri berasaskan nilai agama,” katanya lagi.

Tegasnya, DMPM akan terus komited memperjuangkan pembinaan masyarakat yang berakhlak, bermaruah dan sejahtera selaras dengan tuntutan Islam.