
KUALA LUMPUR - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menegaskan bahawa usaha membanteras rasuah di negara ini hanya boleh dicapai melalui kepimpinan yang tegas dan berprinsip, selain penguatkuasaan undang-undang yang konsisten.
Beliau berkata, pengalaman lebih 42 tahun dalam bidang penguatkuasaan dan pencegahan rasuah menunjukkan bahawa tindakan undang-undang semata-mata tidak mencukupi untuk menangani gejala tersebut secara menyeluruh.
“Rasuah tidak boleh dihapuskan melalui penguatkuasaan sahaja, ia memerlukan kepimpinan yang tegas, konsisten dan tidak berkompromi, disokong oleh pelaksanaan undang-undang yang berterusan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada satu program wacana nasional di Putrajaya.
Menurutnya, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan sektor swasta turut memainkan peranan penting, selain usaha berterusan mendidik masyarakat agar menolak rasuah dan mengamalkan nilai integriti.
Beliau berkata, kejayaan atau kegagalan sesuatu rangka kerja pencegahan rasuah bukan terletak kepada kekuatan sistem semata-mata, sebaliknya bergantung kepada iltizam kepimpinan dalam melaksanakannya.
“Walaupun sistem tidak sempurna, pembaharuan dan kemajuan ke arah tadbir urus yang lebih telus dan berkesan tetap boleh dicapai jika wujud kepimpinan yang berintegriti,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada Strategi Antirasuah Nasional 2024–2028 (NACS) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai satu inisiatif menyeluruh dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus negara.
Katanya, pelan tersebut merupakan dokumen dinamik yang berfungsi sebagai kerangka utama negara dalam meningkatkan integriti, menggalakkan tadbir urus baik serta mencegah rasuah secara komprehensif.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa sistem yang baik sekalipun tidak akan berkesan tanpa kepimpinan yang kukuh.
“Jika kepimpinan lemah atau terjejas, sistem yang terbaik sekalipun akan gagal. Justeru, kepimpinan bukan satu pilihan tetapi keperluan bagi memastikan usaha membanteras rasuah kekal berada di landasan yang betul,” katanya. - Getaran, 7 April 2026
