Kandungi Bahan Tidak Diisytihar, Kicap Manis, Sambal Sos Ayam ABC Ditarik Semula

12 Sep 2022 • 3:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Noor Hisham Abdullah - Gambar Fail

KUALA LUMPUR - Kicap soya manis dan sambal sos ayam goreng jenama ABC ditarik semula dari pasaran kerana mengandungi bahan alergen yang tidak diisytiharkan.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengesan kewujudan sulfur dioksida yang tidak dilabel pada pembungkusan.

Menurut beliau, arahan pelabelan semula atau berdepan penghantaran ke negara asal turut dikeluarkan jika peraturan tersebut tidak dipatuhi.

Katanya, sulfur dioksida diklasifikasikan sebagai bahan pengawet yang dibenarkan dalam makanan tertentu dan pada paras tertentu di bawah Peraturan- Peraturan Makanan 1985. 

“Sulfur dioksida tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan dalam kepekatan yang dibenarkan tetapi ia boleh menyebabkan kesan alergik kepada sesetengah individu yang mengidap lelah atau asma apabila terhidu atau tertelan,” katanya.

Jelas Dr Noor Hisham, kandungan sulfur dioksida melebihi 10mg/kg hendaklah diisytiharkan atau dilabelkan.

“Semakan dibuat KKM ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) mengesahkan produk Kicap Soya Manis dan Sambal 2 Ayam Goreng jenama ABC turut diimport ke negara ini. 

“Pemantauan turut dijalankan di semua pintu masuk negara dan pasaran tempatan dari Jun 2021 sehingga kini. Setakat ini tiada sampel produk kicap soya termasuk kicap soya ABC dikesan mengandungi sulfur dioksida,” ujarnya.

Dr Noor Hisham berkata, pengguna digalakkan untuk melaporkan sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini dan isu-isu keselamatan makanan yang lain di Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

“Mereka juga boleh membuat aduan di laman web http://moh.spab.gov.my,” katanya. - Getaran 12 September 2022