
OBILIC: Di bandar kecil Obilic yang dibayangi cerobong asap loji janakuasa arang batu terbesar Kosovo, penduduk mendakwa hampir tiada keluarga yang terlepas daripada penyakit kanser.
Seorang penduduk, Jovan Zivic yang mengusahakan sebuah kafe di jalan menuju salah sebuah loji janakuasa itu, kehilangan anak lelakinya ketika remaja akibat penyakit berkenaan pada 2010, sebelum isterinya meninggal dunia akibat penyakit sama 14 tahun kemudian. Ramai pelanggannya turut mempunyai kisah serupa.
“Tiada keluarga yang tidak terjejas. Plemetina mempunyai kira-kira 200 rumah. Kini satu daripada setiap tiga rumah kosong.
“Orang ramai pergi mencari kehidupan yang lebih baik,” kata Zivic kepada AFP sambil memerhatikan kepulan asap keluar dari cerobong sebuah loji di penempatan berhampiran.
Bandar itu yang terletak tidak jauh dari ibu negara, Pristina menghasilkan hampir keseluruhan bekalan elektrik Kosovo dengan membakar lignit, iaitu arang batu berkualiti paling rendah dan paling mencemarkan yang dilombong dari kawasan berhampiran.
Parlimen Kosovo secara rasmi mengisytiharkan Obilic yang terletak di antara dua loji janakuasa sebagai ‘zon terancam alam sekitar’ berikutan pencemaran berterusan.
Penduduk melaporkan pelbagai masalah kesihatan, manakala bahaya akibat pencemaran udara di kawasan itu didokumentasikan dengan baik.
Bagaimanapun, data kanser yang tidak lengkap menyukarkan usaha menentukan sama ada penduduk di situ menghidap penyakit berkenaan pada kadar lebih tinggi berbanding kawasan lain di negara itu.
Bekas mekanik, Brahim Gashi yang abangnya meninggal dunia akibat kanser tekak berkata, penduduk tidak memerlukan statistik untuk mengetahui apa yang mereka sedut setiap hari itu sangat berbahaya.
“Perhatikan sahaja apabila wanita menjemur pakaian di halaman. Pakaian tersebut akan dipenuhi tompokan jelaga hitam dalam masa beberapa minit,” katanya.
The post Kanser hantui penduduk bandar perlombongan arang batu Obilic appeared first on Utusan Malaysia.

