
Kantin Sekolah ABIM Sungai Ramal Ditutup 14 Hari Susulan Dakwaan Keracunan Makanan
Isu dakwaan keracunan makanan membabitkan beberapa murid di sebuah sekolah di Sungai Ramal menjadi perhatian ramai selepas tular di media sosial malam tadi.
Perkara itu mula mendapat perhatian selepas seorang pengguna Threads menggunakan nama akaun @aaira_fififufu memuat naik hantaran mendakwa kantin Sekolah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sungai Ramal diarahkan tutup selama 14 hari susulan insiden berkenaan.
Menurut pengguna itu, beberapa murid dilaporkan mengalami simptom seperti muntah, pening dan sakit perut yang dipercayai berpunca daripada keracunan makanan.
“Sekolah ABIM Sungai Ramal diarah tutup 14 hari. Ramai murid-murid keracunan makanan. Muntah-muntah, pening, sakit perut. Banyak persoalan dibiarkan menjadi persoalan oleh pihak sekolahnya,” katanya.
Hantaran itu turut disertakan gambar Notis Perintah Tutup daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor selain beberapa gambar pegawai kesihatan menjalankan pemeriksaan di lokasi.
Berdasarkan notis tersebut, dapur kantin Sekolah Seri dan Semi ABIM diperintahkan tutup bermula 30 Jun hingga 14 Julai 2026.
Menurut notis itu, penutupan dibuat kerana premis berkenaan didapati berada dalam keadaan yang mungkin menyebabkan bermulanya atau merebaknya penyakit berjangkit kepada orang ramai.
Bagaimanapun, di ruangan komen, beberapa ibu bapa tampil menjelaskan bahawa pihak sekolah sebenarnya telah memberi maklumat serta perkembangan terkini kepada waris sejak hari kejadian.
Seorang pengguna, @pagi.baker berkata anaknya antara murid yang terlibat dalam insiden itu dan mendakwa simptom dialami tidak berpanjangan.
“My daughter one of them yang terlibat kes keracunan. Dia muntah tiga kali di sekolah, tapi malam tu dia dah okay,” ujarnya.
Menurutnya, terdapat dakwaan makanan seperti sambal daging yang dihidangkan mungkin sudah tidak elok, namun perkara itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, @neysahz berkata pihak sekolah sentiasa memberi kemas kini kepada ibu bapa melalui kumpulan rasmi sekolah.
Baca juga:Katanya, pihak pentadbiran serta guru telah memberikan memo dan perkembangan dari semasa ke semasa sementara menunggu hasil siasatan penuh daripada pihak kesihatan.
Seorang lagi ibu bapa, @habibmustaqim turut mengesahkan sekolah telah mengambil tindakan segera termasuk menghentikan operasi kantin serta menyediakan makanan alternatif sepanjang tempoh penutupan.
Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan pihak berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.



