Keracunan makanan sekolah: Hanya seorang murid dirawat di hospital

LocalHealth & Fitness
1 Jul 2026 • 6:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Keracunan makanan sekolah: Hanya seorang murid dirawat di hospital
Kebanyakan murid mengalami gejala seperti muntah, pening dan sakit perut.

KAJANG - Pengurusan Sekolah Rendah Islam ABIM (SERI) dan Sekolah Menengah Islam ABIM (SEMI) Sungai Ramal Dalam mengesahkan insiden disyaki keracunan makanan yang berlaku pada Isnin lalu berada dalam keadaan terkawal.

Ketua Pegawai Eksekutif SERI/SEMI ABIM Sungai Ramal Dalam, Nazzil Saifuddin Abdul Rahim berkata, pada masa ini hanya seorang murid menerima rawatan di hospital sebelum dibenarkan pulang.

Menurut beliau, sebaik menerima laporan, pihak sekolah segera mengambil tindakan mengikut prosedur yang ditetapkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat.

“Pihak sekolah sentiasa memantau kesihatan semua murid yang terlibat di samping berhubung rapat dengan ibu bapa serta pihak berkuasa kesihatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pihak sekolah turut akur dengan arahan KKM untuk menutup sementara dapur kantin bagi membolehkan kerja sanitasi, pemeriksaan serta tindakan pembetulan dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan makanan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan seluruh warga sekolah terus terjamin.

“Kami sedang menunggu laporan lengkap hasil siasatan PKD Hulu Langat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Sehubungan itu, semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga keputusan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau menegaskan, SERI/SEMI ABIM komited untuk terus bersikap telus dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, selain akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini kepada ibu bapa, warga sekolah dan masyarakat melalui saluran rasmi.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kantin sebuah sekolah di Sungai Ramal diarahkan tutup selama 14 hari selepas tular dakwaan beberapa murid mengalami muntah, pening dan sakit perut, namun punca sebenar masih dalam siasatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved