Kantoi pindah diesel antara bot, rampasan cecah RM587,000

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 1:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kantoi pindah diesel antara bot, rampasan cecah RM587,000
Pemindahan minyak diesel bersubsidi oleh pihak tidak bertanggungjawab dikesan dalam operasi di jeti persendirian di Manjung, Perak.

PUTRAJAYA – Kegiatan disyaki menyeleweng minyak diesel bersubsidi menerusi pemindahan antara dua bot di sebuah jeti persendirian di Manjung, Perak terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Selasa lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam memaklumkan, dalam operasi itu KPDN menyita dua bot, kira-kira 3,592 liter cecair disyaki diesel serta peralatan pemindahan dengan keseluruhan nilai sitaan dianggarkan RM587,219.45.

Menurutnya, serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) pada kira-kira jam 10.30 pagi, 27 Oktober lalu turut membawa kepada penahanan lima lelaki terdiri daripada dua warga Malaysia dan tiga bukan warganegara.

"Pemeriksaan di lokasi mendapati sebuah bot sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel ke sebuah bot lain di kawasan jeti berkenaan sebelum menemukan sejumlah cecair yang disyaki minyak diesel di dalam beberapa tangki simpanan selain peralatan dipercayai digunakan bagi aktiviti pemindahan termasuk pam dan hos," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar beliau, operasi berkenaan dilaksanakan Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya dengan kerjasama KPDN Cawangan Manjung hasil maklumat risikan susulan aduan diterima berhubung kegiatan mencurigakan membabitkan barang kawalan.

Susulan penemuan itu, KPDN turut menyita dokumen berkaitan serta sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan.

Ujar Azman, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] berkaitan pemindahan dan penyimpanan barang kawalan.

Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan diesel, tujuan pemindahan serta pihak yang terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Ops Tiris yang bermula 16 Mac hingga 28 Oktober lalu merekodkan sebanyak 128,239 pemeriksaan dengan 1,587 kes dikesan dan 522 individu ditahan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved