
JAKARTA – Seramai 13 pelancong dan enam kru diselamatkan selepas kapal dinaiki mereka karam akibat terlanggar terumbu karang di Labuan Bajo, wilayah Nusa Tenggara Timur, lapor laman berita The Bali Times.
Kejadian berlaku sekitar pukul 6.30 pagi (waktu tempatan) ketika kapal KM Yukai berlayar dari Pulau Kelapa menuju Pulau Bidadari untuk aktiviti menyelam (snorkeling) semalam.
Polis Manggarai Barat berkata, kapal itu melanggar terumbu karang di perairan cetek berhampiran Tanjung Sture ketika air laut surut.
Kemalangan mengakibatkan air masuk ke dalam kapal yang akhirnya karam. Ia membawa 19 orang termasuk 13 pelancong dan enam kru.
Mereka kemudian dipindahkan dengan menaiki bot penyelamat sebelum dibawa ke Marina Labuan Bajo.
Berdasarkan siasatan awal, kapten kapal disyaki gagal mengesan terumbu karang di perairan cetek serta penanda navigasi perairan dengan betul.
Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian. – AGENSI
The post Kapal bawa pelancong di Labuan Bajo karam,13 selamat appeared first on Kosmo Online.

