BANGI - [DIKEMAS KINI] Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 10 rakyat Malaysia antara 186 peserta terputus hubungan pada hari ke-18 misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF) pada Khamis.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, sebanyak 22 daripada keseluruhan 63 kapal dilaporkan dipintas pihak berkuasa Israel di perairan Mediterranean berhampiran Kepulauan Crete, Greece.
Menurut beliau, kejadian berlaku sekitar jam 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia apabila kapal-kapal yang berada kira-kira 656 batu nautika dari pantai Gaza dihampiri secara agresif oleh pasukan tentera Israel.
"SNCC melaporkan berlaku provokasi yang mana Angkatan Pertahanan Israel (IDF) telah melepaskan tembakan amaran ke atas kapal delegasi selain melakukan gangguan frekuensi radio serta mengancam aktivis kemanusiaan yang tidak bersenjata.
"Enam kapal yang ditahan dan diceroboh melibatkan 10 rakyat Malaysia antaranya Zainal Rashid Ahmad (ZRA), Osman Zulkifli dan Dr Jihan Alya Mohamad Nordin," katanya dalam sidang akhbar khas SNCC di Wisma Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di Kajang pada Khamis.
Dalam insiden itu, kata Sani Araby, pihaknya turut mengesahkan terdapat puluhan dron yang tidak dikenal pasti dan dikesan beroperasi di sekitar kawasan Flotilla.
"SNCC percaya mereka melakukan pemantauan dan juga gangguan terhadap pergerakan serta komunikasi delegasi GSF.
"Rakaman audio dan visual yang diperolehi membuktikan pihak IDF menggunakan naratif palsu bagi menjustifikasikan serangan amaran," katanya lagi.
Pihaknya menyifatkan serangan itu sebagai provokasi awal bagi mengagalkan misi kemanusiaan berskala besar ke Gaza.
"Pihak rejim sangat terdesak dan melakukan tindakan pengecut kerana delegasi berada di zon pelayaran antarabangsa yang sah dan dijamin sepenuhnya undang-undang maritim antarabangsa berbanding tahun lepas.
"Kita yakin dengan ketumbukan seluruh dunia termasuk dari Malaysia telah menyebabkan Zionis merasa goyah dan membuat provokasi awal untuk menghentikan gerakan besar-besaran dalam sejarah.
"Kalau sampai di kawasan Turki boleh jadi keseluruhan dunia mula bangkit dan menyokong," kata Sani Araby.
Beliau berkata, perkembangan terkini misi GSF itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan sokongan terutama dari aspek diplomatik dan keselamatan.
Dalam pada itu, SNCC meminta rakyat Malaysia untuk terus mendoakan keselamatan semua peserta misi terutama rakyat Malaysia.
"Laksanakan solat hajat dan bacaan qunut nazilah bagi memohon perlindungan kepada mereka yang berdepan situasi genting ini.
"Difahamkan, demontrasi besar-besaran akan dibuat akan dibuat di Eropah yang saya kira tindakan rejim Israel itu satu pencabulan," katanya.
Global Sumud Flotilla merupakan gerakan antarabangsa tindakan tanpa kekerasan yang belayar bagi menamatkan sekatan Israel ke atas Gaza serta menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin.






