Kapal MRSS, LMS Batch 3 dan USV tumpuan perolehan baharu ATM dalam Belanjawan 2026

08/10/2025 - 10:33
Gambaran grafik kapal MRSS buatan Türkiye. Analisis Berita Oleh Zaki Salleh
Beberapa perolehan pertahanan utama menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2026 yang akan dilihat sebagai cerminan kerajaan dalam fokus untuk membangunkan keupayaan ATM.
Perolehan tersebut penting untuk menjadikan ATM angkatan masa hadapan dan mampu menghadapi cabaran semasa.
Ia sejajar dengan pelan masa hadapan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) iaitu antara tahun 2025 hingga 2030.
Aset-aset tersebut adalah perolehan 2 buah kapal sokongan pelbagai guna (MRSS), 3 buah kapal misi pesisir Batch 3 (LMS) dan perolehan Unmanned Surface Vehicle (USV).

Turut disenaraikan adalah perolehan tambahan 2 buah pesawat rondaan maritim (MPA), tambahan 3 buah MALE UAV dan perolehan 18 buah pesawat FLIT/LCA.
Senarai pembelian ini selaras dengan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan 2025 yang menggariskan keperluan bagi memperkukuh keupayaan ATM jangka panjang.
Perolehan 2 buah MRSS menjadi komponen penting dalam transformasi keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Kapal ini mampu melaksanakan pelbagai misi termasuk operasi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR), pengangkutan aset ketenteraan serta operasi amfibia.

MRSS akan menjadi tulang belakang keupayaan logistik laut negara, menggantikan kapal-kapal sokongan lama seperti KD Mahawangsa dan KD Sri Indera Sakti yang berusia 40 tahun.
Dijangka 2 kapal sedia ada akan terus beroperasi apabila kapal MRSS diterima, namun ia dapat mengurangkan beban sedia ada.
Pemilihan platform MRSS juga berpotensi membuka ruang kepada kerjasama industri tempatan melalui offset program dan pemindahan (ToT).
Pesaing utama yang menawarkan kapal rekaan masing-masing seperti Türkiye, Korea Selatan, Itali dan Indonesia.
Türkiye setelah berjaya mendapatkan kontrak kapal LMS Batch 2 menampilkan kapal MRSS buatan syarikat Istanbul Shipyard.



Giat mencuba peluang ialah Hyundai Heavy Industries (Korea Selatan) yang menggunakan hubungan baik industri sedia ada.
Turut mencuri tumpuan adalah kontrak 3 kapal LMS Batch 3 yang bakal menambah lagi keupayaan TLDM dalam misi rondaan pesisir, pengawasan maritim dan operasi.
Sepertimana kapal LMS Batch 2 yang menekankan reka bentuk moden dan sistem persenjataan yang lebih baik, LMS Batch 3 juga begitu.
Ketika ini kapal-kapal LMS Batch 2 TLDM dibina berdasarkan reka bentuk kapal korvet kelas-ADA yang dibangunkan oleh STM Türkiye.
Sejauhmana rekaan kapal ADA Türkiye menjadi kesinambungan bagi projek LMS seterusnya tidak dapat dipastikan, malah bukan ganjil jika MINDEF memilih kapal buatan negara lain.


Walaupun Pelan 15to5 TLDM menetapkan hanya 5 jenis kapal dalam armada kita, namun jenis dan pengeluar boleh berubah atas kehendak kerajaan semasa.
TLDM yang sedang melangkah sebagai armada masa hadapan memerlukan aset seperti USV dalam dimensi baharu operasi pengawasan dan keselamatan maritim.
Tanpa kru, USV mampu menjalankan misi rondaan berisiko tinggi, pemantauan perairan cetek serta menyokong operasi ISR (Intelligence, Surveillance & Reconnaissance) dengan lebih efisien kos dan tenaga.
Teknologi ini sejajar dengan trend global dalam pendigitalan medan perang dan penggunaan sistem tanpa pemandu (autonomous systems) sebagai pelengkap kepada platform tradisional.
Selepas perolehan 2 pesawat MPA P72M jenis ATR-72, tambahan 2 aset baharu akan memperkukuh rangkaian pengawasan udara maritim negara, khususnya di kawasan Laut China Selatan dan Selat Melaka.


MPA sangat penting untuk mengesan kapal selam, kapal permukaan dan pelanggaran kawasan perairan.
Keupayaan ini juga menyokong pemantauan perikanan haram, penyeludupan dan pencerobohan ZEE.
Begitu juga perolehan tambahan 3 buah MALE ANKA-S buatan Türkiye yang dapat memperluaskan kawasan liputan TUDM dan mempercepatkan pengumpulan maklumat taktikal di darat dan laut.
MALE UAV telah menunjukkan nilai tinggi dalam misi ISR dan pemantauan sempadan.

Gabungan aset-aset ini dengan pesawat pejuang sedia ada dapat memperketatkan lagi ruang udara negara.
Selain itu, penggunaan UAV saiz sederhana juga membuka ruang kepada penglibatan syarikat tempatan dalam industri pertahanan dron yang sedang berkembang pesat.
Melengkapkan keperluan pertahanan dalam RMK13 adalah perolehan pesawat pejuang ringan FA-50M Batch 2.
TUDM akan menerima penghantaran pesawat pertama FA-50M dari Korea Selatan pada pertengahan tahun hadapan.


Jadi, perolehan tambahan melengkapkan keperluan latihan juruterbang tempur dan keupayaan rondaan udara bersenjata ringan.
Pengoperasian pesawat LCA menjimatkan kos operasi berbanding pesawat pejuang sebenar tetapi pada masa sama masih memberikan keupayaan yang diperlukan.
Harapan besar untuk melihat pembangunan aset-aset masa hadapan ATM kini terletak pada berapakah perbelanjaan yang bakal diperuntukkan kerajaan dalam Belanjawan 2026 nanti. - DagangNews.com
featured standard

