
Kapal Perang AS Hampiri Selat Melaka Menuju Asia Barat
Sebuah kapal perang Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menghampiri Selat Melaka di perairan Singapura ketika dalam perjalanan ke Asia Barat, menurut data penjejakan maritim pada Selasa.
Menurut portal CNN, kapal serangan amfibia, USS Tripoli dilihat menghampiri Singapura di hujung barat daya Laut China Selatan pagi semalam, berdasarkan data AIS.
Difahamkan, kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) itu beroperasi dengan transponder AIS dimatikan.
Namun, pendedahan kedudukan semasa melalui kawasan trafik maritim yang sibuk seperti perairan sekitar Singapura membantu memastikan operasi pelayaran yang lebih selamat.
Akhbar The Wall Street Journal sebelum ini melaporkan bahawa USS Tripoli akan membawa tambahan anggota marin ke Asia Barat.
Anggota tersebut terdiri daripada Unit Ekspedisi Marin ke-31 (MEU) yang berpangkalan di Okinawa, Jepun, iaitu pasukan tindakan pantas seramai kira-kira 2,200 anggota, menurut tiga pegawai yang arif mengenai perancangan berkenaan.
Markas Perintah Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan kira-kira 50,000 anggotanya kini berada di Asia Barat sebagai sebahagian daripada konflik dengan Iran.
CNN turut mendapatkan maklum balas daripada Armada Ke-7 dan Armada Ke-5 Tentera Laut AS berhubung perkara tersebut.
Beberapa pegawai memaklumkan unit berkenaan telah dihantar ke Asia Barat, namun tidak memperincikan lokasi penugasan atau tujuan operasi.
Berpangkalan di Sasebo, Jepun, USS Tripoli yang berukuran hampir 260 meter panjang dengan sesaran sekitar 45,000 tan pada asalnya direka sebagai kapal pengangkut pesawat kecil.
Kapal itu dilengkapi jet pejuang halimunan F-35, pesawat MV-22 Osprey serta vesel pendaratan bagi memindahkan anggota tentera ke darat.
Baca juga:
