Kapal peronda terpakai AS jadi aset baharu APMM, vesel 56 tahun diterima tahun depan

LocalPolitics
8 Aug 2024 • 1:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kapal peronda terpakai AS jadi aset baharu APMM, vesel 56 tahun diterima tahun depan

zakisalleh

08/08/2024 - 13:09

Berdepan dengan isu kekurangan aset untuk melaksanakan rondaan di laut, maka sebarang usaha untuk memperkasakan Agensi Penguatkuasa Maritim (APMM) harus disambut baik.

Ini termasuklah mendapatkan aset terpakai yang masih dalam keadaan baik sebagai langkah segera untuk menambah aset sedia ada.

Terbaru, APMM dijangka menerima kapal bekas kepunyaan Pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (US Coast Guard - USCG) iaitu USCG Steadfast.

Proses penyediaan kapal yang berpangkalan di Baltimore, Amerika Syarikat (AS) ini akan dilakukan sebelum kapal diserah dan seterusnya dibawa pulang ke Malaysia pada tahun hadapan.

image is not available
Sumbangan kapal peronda berusia 56 tahun ini mengeratkan lagi hubungan baik antara Malaysia-AS.
​​​​​​

Penyerahan kapal ini nanti bakal menjadi aset penting bagi memperkukuhkan keselamatan Zon Maritim Malaysia khususnya di Laut China Selatan.

Pertambahan aset itu secara tidak langsung dapat memperluaskan lagi operasi Maritim Malaysia dengan lebih berkesan dan efektif.

USCG pada April lalu menawarkan dua kapal perondanya kepada APMM sebagai tanda erat kerjasama.

Tawaran itu dibuat semasa lawatan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ke beberapa agensi di AS pada September tahun lalu, antaranya USCG.

image is not available
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Haji Ruji Haji Ubi (empat dari kanan) dan Duta Besar Amerika Syarikat, Mr. Edgard D. Keagan (empat dari kiri) dengan disaksikan Saifuddin Nasution semasa memeterai memorandum persefahaman penyerahan kapal Steadfast di Kuala Lumpur.

Susulan itu Kementerian Dalam Negeri memeterai persetujuan antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat melalui surat setuju terima bagi penyerahan kapal berkenaan.

Sumbangan aset kepada Malaysia sebagai tanda dekatnya kerjasama termasuk perkongsian maklumat, kepakaran dan pengalaman sempadan laut yang luas antara kedua-dua negara.

USCGC Steadfast berukuran panjang 64.16 meter (m) itu, mempunyai kelebaran 10m serta berat 1,100 tan dan boleh membawa 12 pegawai serta 63 kru.

Dengan kelajuan mencecah hingga 18 knot, kapal peronda kelas Reliance berusia 56 tahun ini dalam berkeadaan baik kerana penyelenggaraan yang bagus.

Sebagai kapal peronda maritim, ia dilengkapi dengan persenjataan iaitu selaras meriam kaliber ringan Mk 38 25mm chain gun dan dua laras mesingan berat M2HB.

image is not available

image is not available

Kapal ini juga mempunyai geladak pendaratan untuk membawa sebuah helikopter saiz sederhana yang mana ini merupakan bonus kepada Maritim Malaysia apabila dioperasikan.

Pertama kali ditauliahkan pada 1968, kapal ini berkhidmat selama 24 tahun sebelum menjalani proses penyelenggaraan menyeluruh pada tahun 1992 untuk melanjutkan tempoh penggunaan 25 tahun lagi.

Kesemuanya 16 buah kapal peronda USCG kelas Reliance dibina yang mana 6 telah dilucutkan tauliah termasuk Steadfast.

Dua daripadanya diserahkan masing-masing kepada kerajaan Sri Lanka dan Colombia, bermakna Steadfast menjadi kapal ketiga yang disumbangkan kepada negara sahabat Amerika Syarikat.

Penguatkuasaan maritim adalah penting kerana negara mengalami kerugian kira-kira RM823 juta akibat pencerobohan kapal nelayan asing bagi tempoh antara 2020 hingga 2023.

image is not available
Sebanyak 16 kapal kelas Reliance dibina AS termasuk Steadfast.

Dalam tempoh itu sebanyak 428 kes direkodkan oleh Jabatan Perikanan, APMM dan Polis Marin.

Justeru, isu pencerobohan membabitkan aktiviti-aktiviti penangkapan ikan secara haram oleh vesel penangkapan ikan asing di perairan negara ini perlukan langkah tegas.

Sehingga kini APMM mempunyai 3 buah kapal yang disumbangkan negara sahabat.

Kapal pertama, KM Marlin merupakan kapal latihan yang telah dihadiahkan oleh The Nippon Foundation, Jepun kepada pada 2006.

Empat tahun lalu pula kerajaan Jepun menyumbang dua kapal ronda pesisir (OPV) terpakai iaitu KM Arau yang kini ditempatkan Sabah dan KM Pekan di Pahang.

image is not available
Kapal latihan KM Marlin.

Pemberian kerajaan Jepun kepada Malaysia ini sempena 60 tahun hubungan diplomatik antara dua negara.

Kedua-dua kapal itu telah memainkan peranan penting dalam melindungi perairan negara sehingga hari ini, malah menjadi kapal terbesar dalam aset APMM.

Dengan jumlah aset kapal peronda APMM berjumlah 90 buah serta 190 bot, namun sebahagian besarnya telah berusia selain memerlukan tempoh penyelenggaraan lebih lama.

Diharapkan, kapal berusia 56 tahun sumbangan USCG ini nanti dapat membantu APMM dan gagah belayar melaksanakan tugas mengawasi perairan negara. - DagangNews.com