
MOSCOW: Kapal tangki minyak kendalian Greece diserang di Laut Hitam selepas memuatkan kargo minyak dari Russia, lapor Bloomberg.
Kapal kelas Suezmax, Skiros yang mampu membawa kira-kira satu juta tong minyak, diserang pada Ahad selepas memuatkan minyak di terminal Caspian Pipeline Consortium (CPC) berhampiran bandar pelabuhan Novorossiysk di selatan Russia, menurut laporan itu memetik sumber yang mengetahui perkara berkenaan.
Syarikat berkenaan berkata, tiada kecederaan atau pencemaran dilaporkan susulan kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut, lapor Bloomberg.
Serangan itu merupakan yang pertama terhadap kapal yang berlabuh di terminal CPC selepas operasi serangan dihentikan selama hampir tiga minggu.
Financial Times pula melaporkan, Kyiv menghentikan serangan terhadap kapal tangki minyak yang menggunakan terminal CPC di Novorossiysk selepas Naib Presiden AS, JD Vance meminta Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, supaya menghentikan serangan berkenaan dalam perbualan telefon pada 31 Julai.
Bulan lalu, Russia dan Kazakhstan mengecam apa yang disifatkan mereka sebagai serangan dron Ukraine terhadap kapal yang memuatkan minyak di terminal marin CPC.
Kyiv mengaku melakukan beberapa serangan berkenaan, menyatakan serangan terhadap infrastruktur tenaga Russia bertujuan menyekat sumber pendapatan Moscow bagi membiayai perang di Ukraine.
Awal bulan ini, Bloomberg turut melaporkan Kyiv bersetuju untuk tidak menyasarkan kapal tangki minyak tertentu bukan Russia serta infrastruktur Laut Hitam yang penting bagi eksport minyak Kazakhstan, susulan rundingan pada 31 Julai antara pemimpin kanan kerajaan AS dan kepimpinan Ukraine.
The post Kapal tangki minyak kendalian Greece diserang di Laut Hitam appeared first on Utusan Malaysia.



