Kapal tangki rempuh tebing dipercayai ‘belayar’ tanpa kebenaran

16 Nov 2026 • 2:54 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kapal tangki rempuh tebing dipercayai ‘belayar’ tanpa kebenaran

LUMUT: Kapal tangki yang tular selepas merempuh tebing barat di Taman Rekreasi Madani Esplanade Wing di sini hari ini, dipercayai menjalani ujian pelayaran tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM), kapal berkenaan dipercayai keluar untuk menjalani ujian pelayaran malam tadi.

Katanya, siasatan juga mendapati kapal tangki sepanjang 83 meter dengan berat 2,400 tan itu dikendalikan oleh 10 kru warga Thailand.

“Siasatan awal mendapati kapal berkenaan sebelum ini dikenali sebagai Fuji sebelum bertukar pemilikan kepada pemilik baharu dari Thailand dan didaftarkan semula menggunakan nama Midas di negara itu.

“Dalam kejadian pada pukul 9.50 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan terhadap kapal berkenaan sudah dilakukan oleh polis bersama agensi berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Katanya, pihak berkuasa berkaitan turut menjalankan pemeriksaan terhadap dokumen pendaftaran, kebenaran operasi dan perkara lain yang berkaitan dengan pergerakan kapal berkenaan.

“Setakat ini, kru kapal tersebut belum ditahan dan pihak Jabatan Laut Malaysia akan menjalankan siasatan lanjut termasuk meneliti dokumen dan mengenal pasti sebarang kesalahan berkaitan.

“Berdasarkan siasatan awal, kapal tangki itu dipercayai digunakan untuk membawa muatan minyak. Bagaimanapun, kapal berkenaan dipercayai kosong ketika kejadian, namun perkara itu masih dalam siasatan bagi pengesahan lanjut,” katanya.

Sementara itu, mengulas sama ada operasi mengalihkan kapal tangki berkenaan akan mengambil masa, beliau berkata, ia bergantung kepada keadaan air pasang di kawasan tersebut.

“Pihak JLM akan menarik kapal itu terlebih dahulu untuk dilabuhkan di kawasan tengah laut sementara menunggu tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222 atau WhatsApp Hotline 017-682 8005.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai. – UTUSAN

The post Kapal tangki rempuh tebing dipercayai ‘belayar’ tanpa kebenaran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved