Kapal tanker ditahan bersauh secara haram di perairan Batu Pahat

27 Jul 2025 • 9:13 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

image is not available

JOHOR BAHRU, 27 JULAI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tanker kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Segenting, Batu Pahat dekat sini, tengah malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata kapal berkenaan ditahan di kedudukan kira-kira 12.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting selepas nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh ketika pemeriksaan dilakukan pada 12.30 tengah malam.

Beliau berkata kapal yang berdaftar di Bridgetown, Barbados dan sedang dalam perjalanan dari Dubai ke Vietnam itu telah memasuki Pelabuhan Tanjung Bruas, Melaka dengan membawa muatan tar seberat 6,894 tan metrik.

“Kapal tersebut didapati dikendalikan oleh 18 kru termasuk nakhoda yang kesemuanya warganegara India berusia antara 22 hingga 45 tahun. Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Zaini berkata kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Maritim Malaysia terus komited dan ingin menegaskan kepada pemilik, pengusaha perkapalan serta nakhoda kapal supaya sentiasa mematuhi segala prosedur dan peraturan yang ditetapkan kerana tindakan akan diambil tanpa kompromi dalam usaha membanteras kegiatan berlabuh secara haram,” katanya.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved