Kapal Terbakar di Perairan Sulawesi, Penumpang Cemas Terjun Dalam Laut
Kapal Motor (KM) Gregorius Barcelona V dilaporkan terbakar ketika belayar di perairan Sulawesi Utara.
Memetik laporan CNN Indonesia, ramai penumpang di dalam kapal itu panik dan cuba menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam laut.
Manakala beberapa penumpang yang membawa kanak-kanak kekal di atas kapal.
“Tolong bantu kami sekarang, KM Gregorius Barcelona V terbakar di depan Pulau Talise. Tolong bantu kami sekarang, kapal itu terbakar,” kata seorang penumpang dalam video yang beredar di media sosial.
Sementara itu, tular juga video seorang wanita yang merupakan penumpang kapal meminta bantuan daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas).
“Pasukan SAR tolong bantu,” katanya yang dimuat naik di akaun Facebook.
Dalam video yang disiarkan secara langsung oleh salah seorang penumpang, api boleh dilihat merebak di bahagian atas kapal. Asap tebal berkepul-kepul, manakala jeritan penumpang jelas kedengaran.
https://x.com/AJEnglish/status/1946876486771761161
Agensi Keselamatan Maritim Indonesia (Bakamla) Zon Tengah telah mengerahkan kapal KN Gajah Laut bagi membantu menyelamat dan memindahkan mangsa.
“Bakamla Zon Tengah segera mengerahkan KN Gajah Laut untuk memindahkan penumpang,” kata Ketua Bakamla Zon Tengah Indonesia, Laksamana Muda Teguh Prasetya, di Manado, Ahad.
Menurutnya lagi, mangsa yang berjaya dipindahkan segera dibawa ke kapal Bakamla dan bot nelayan.
Sementara itu, pasukan bersama SAR, penduduk setempat dan agensi berkaitan terus berada di kawasan kejadian bagi memastikan tiada mangsa yang tertinggal.
“Proses pemindahan masih diteruskan. Fokus kami adalah untuk menyelamatkan semua penumpang di dalam kapal,” katanya.
Setakat ini, punca kebakaran masih belum diketahui dan proses pemindahan masih dijalankan.
Bilangan mangsa yang cedera juga masih belum didedahkan.
https://x.com/RadioElshinta/status/1946843074820440262
https://x.com/is_pelssy/status/1946840946022531116
Sumber: CNN Indonesia, Antara
The post Kapal Terbakar di Perairan Sulawesi, Penumpang Cemas Terjun Dalam Laut appeared first on Siakap Keli.



