
PETALING JAYA – Aset terbaharu dan antara kapal terbesar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 1, dilancarkan secara rasmi di Desan Shipyard, Istanbul, Turkiye semalam.
Menerusi perkongsian laman sosial APMM, pelancaran itu menjadi detik penting dalam usaha memodenkan armada APMM bagi memperkukuh pengawasan, penguatkuasaan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Zon Maritim Malaysia.
Majlis disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Menteri Dalam Negeri Turkiye, Mustafa Ciftci dan Menteri Industri dan Teknologi Turkiye, Mehmet Fatih Kacır.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, MPMS 1 mampu beroperasi lebih lama di laut sekali gus meningkatkan keupayaan agensi menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
Menurutnya, kapal berkenaan bukan sahaja berperanan dalam pengawasan dan penguatkuasaan, malah boleh digerakkan untuk misi SAR, bantuan kemanusiaan serta tindak balas bencana.
“MPMS 1 akan menyokong usaha menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti perikanan haram, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan, selain memperkukuh pelaksanaan SAR.
“Pemodenan aset perlu diterjemahkan kepada keberkesanan operasi bagi memastikan keupayaan baharu ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjaga keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya.
Pembinaan MPMS 1 kini mencapai kira-kira 85 peratus, mendahului jadual yang ditetapkan, manakala pembinaan MPMS 2 mencapai 34.05 peratus berbanding 32 peratus yang dirancang.
MPMS 1 dijangka dibawa pulang ke Malaysia pada awal 2027 dan dirancang menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2027.
Projek itu turut membuka ruang kerjasama lebih luas antara Maritim Malaysia dan Turkish Coast Guard membabitkan latihan, pembangunan kapasiti, SAR, perkongsian maklumat serta eksesais bersama.
Pelancaran MPMS 1 sekali gus memperlihatkan langkah Malaysia memperkukuh armada maritim dengan aset lebih moden dan berkeupayaan tinggi demi melindungi rakyat, sumber maritim serta kepentingan negara.- KOSMO! ONLINE
The post Kapal terbesar APMM dilancar di Turkiye, tiba awal tahun depan appeared first on Kosmo Online.


