hamden14/09/2026 - 15:39 Lakaran grafik kapal MPMS yang akan menjadi kapal terbesar dimiliki APMM. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Sept - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dijangka menerima kapal misi pelbagai guna (MPMS) kedua yang ditempah dari Türkiye menjelang akhir 2027, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata tempahan kapal kedua dibuat selepas pembinaan kapal pertama menunjukkan kemajuan lebih awal daripada jadual, dengan kapal berkenaan dijangka tiba di Malaysia pada Mac 2027.
“Dua tahun lalu, kita menandatangani perjanjian untuk sebuah kapal. Dalam tempoh kurang dua tahun, kapal itu sudah siap. Berbanding projek lain seperti Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan kapal Pulau Indah (kapal peronda luar pesisir (OPV), pembinaan (kapal MPMS) ini lebih awal daripada jadual,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri pada Isnin.
Saifuddin berkata, keputusan menempah kapal kedua daripada limbungan yang sama dibuat berdasarkan tempoh pelaksanaan yang pantas serta harga yang munasabah.
“Kapal pertama akan tiba pada Mac tahun depan, tepat pada masanya untuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA ’27), manakala kapal kedua akan tiba menjelang akhir tahun,” katanya.
Menurut beliau, aset baharu itu akan meningkatkan keupayaan operasi serta semangat anggota APMM dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan maritim.

MPMS 2 yang dibina sepanjang 99 meter bakal menjadi kapal terbesar dan paling berkeupayaan dalam armada APMM apabila siap kelak.
Kapal itu akan dilengkapi bot pemintas berkelajuan tinggi, kenderaan permukaan tanpa pemandu (USV) serta sistem pesawat tanpa pemandu (UAV). PengangkutanMaritim
Kontrak MPMS 2 dimeterai pada April lalu merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan mempertingkat aset dan kesiapsiagaan APMM.
Kapal Pengawal Pantai Amerika Syarikat
Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin berkata Malaysia tidak akan menerima tawaran pemindahan sebuah kapal daripada Pengawal Pantai Amerika Syarikat sekiranya hasil penilaian mendapati aset berkenaan tidak praktikal dari segi operasi atau kewangan.
Katanya, satu delegasi diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri akan ke Amerika Syarikat bagi memeriksa kapal berkenaan dan menilai keadaannya.
“Ia merupakan tawaran daripada Pengawal Pantai Amerika Syarikat yang kami terima susulan kapal pertama yang diberikan kepada kita sebelum ini. Ia bergantung kepada laporan Ketua Setiausaha yang akan diberikan kepada saya.
“Jika tahap kelayakan pelayaran kapal itu rendah dan kos membaikinya tinggi, ia akhirnya akan menjadi beban. Proses perolehan aset kita adalah proses yang berterusan,” katanya. - DagangNews.com




