Kapal USS Abraham Lincoln berlabuh dekat Pattaya selepas 250 hari di laut

WorldPolitics
2 Sep 2026 • 4:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kapal USS Abraham Lincoln berlabuh dekat Pattaya selepas 250 hari di laut

PATTAYA: Selepas merekodkan tempoh 250 hari berada di laut tanpa sebarang singgahan di pelabuhan, kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear Amerika Syarikat (AS), USS Abraham Lincoln kini berlabuh di Thailand bagi memberikan rehat yang amat diperlukan oleh hampir 5,000 anak kapalnya.

Kapal berkenaan berlabuh berdekatan kawasan peranginan pantai Pattaya, sebuah destinasi yang terkenal dengan kehidupan malam yang meriah. Bagi tentera AS, lokasi ini turut membawa nostalgia sejarah yang amat kuat.

Langkah ribuan kelasi yang keletihan menjejakkan kaki ke premis hiburan dan restoran di bandar itu mengimbau kembali kenangan ratusan ribu tentera AS yang pernah berkunjung ke situ bagi tujuan rehat dan rekreasi semasa Perang Vietnam.

Peristiwa sejarah itulah yang mengubah Pattaya daripada sebuah kampung nelayan yang tenang menjadi bandar parti paling terkenal di dunia.

Pertikaian tentera dan konflik membabitkan Iran yang menjejaskan sektor pelancongan serta perbelanjaan pengguna memberi tamparan hebat kepada perniagaan tempatan di situ.

Justeru, kehadiran ribuan tentera AS yang belum membelanjakan gaji mereka sepanjang sembilan bulan di laut menawarkan peluang keemasan yang jarang berlaku buat peniaga tempatan.

USS Abraham Lincoln berlepas dari San Diego pada November lalu untuk tugas enam bulan di Pasifik dan Laut China Selatan.

Bagaimanapun, kapal tersebut telah dilencongkan ke Teluk Parsi selepas AS dan Israel memulakan operasi ketenteraan terhadap Iran pada lewat Februari.

Sebelum ini, beberapa ahli Kongres AS menzahirkan kebimbangan berhubung laporan kekurangan bekalan makanan, kerosakan kemudahan tandas, serta tekanan mental dalam kalangan anak kapal.

Tentera Laut AS mengakui suasana perkhidmatan adalah mencabar, namun menegaskan kebajikan kelasi sentiasa disokong dengan baik.

Pihak Tentera Laut AS bagaimanapun enggan mengulas lanjut kepada BBC mengenai persinggahan di Pattaya atas faktor keselamatan operasi.

Meskipun mempunyai hubungan diplomatik yang rapat dengan China, Thailand tetap merupakan sekutu perjanjian bagi AS dan persinggahan kapal Tentera Laut AS di perairan negara itu adalah perkara biasa.

Namun, persinggahan kali ini mencatatkan jumlah anggota tentera AS terbesar yang tiba secara terus dari zon konflik ke Pattaya sejak kejatuhan Saigon pada 1975.

The post Kapal USS Abraham Lincoln berlabuh dekat Pattaya selepas 250 hari di laut appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved