
KOTA TINGGI: Dua buah vesel yang disyaki menjalankan aktiviti kapal ke kapal tanpa kebenaran di kedudukan 1.4 batu nautika barat laut Tanjung Buai, di sini ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, penahanan dilakukan pada pukul 3.20 pagi oleh bot ronda Maritim Malaysia selepas pihaknya menerima maklumat awam berhubung dua buah vesel yang kelihatan mencurigakan.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua vesel berkenaan terdiri daripada sebuah bot tunda dan kapal korek yang masing-masing berdaftar di Malaysia.
“Bot tunda tersebut dikendalikan oleh lima orang kru termasuk nakhoda yang terdiri daripada warga tempatan dan Indonesia berusia antara 26 hingga 58 tahun.
“Sementara itu, kapal korek pula dikendalikan oleh 13 orang kru termasuk nakhoda, kesemuanya warga tempatan berusia antara 22 hingga 51 tahun,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemukan sejumlah muatan minyak yang dipercayai tidak mempunyai dokumen berkaitan pemilikan dan penghantaran.
Katanya, kedua-dua vesel berserta muatan minyak berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM260 juta, merangkumi kedua-dua vesel serta muatan minyak yang dibawa.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana disyaki melakukan aktiviti kapal ke kapal tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia dan Seksyen 491B(1)(L) OPS 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran serta Akta Kastam 1967.-UTUSAN
The post Dua kapal ditahan, rampasan dianggar bernilai RM260 juta appeared first on Utusan Malaysia.






