Kapasiti empangan lebih 75 peratus, sumber air mampu bertahan hingga sembilan bulan

LocalEnvironment
7 Jul 2026 • 9:54 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kapasiti empangan lebih 75 peratus, sumber air mampu bertahan hingga sembilan bulan

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kapasiti sumber air Selangor dianggarkan mampu bertahan sehingga sembilan bulan bagi menghadapi Monsun Barat Daya dan fenomena El Nino yang dijangka berlarutan hingga September ini.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata kapasiti tujuh empangan di negeri itu melebihi 75 peratus setakat hari ini, dengan jangka hayat bekalan air dianggarkan antara tiga hingga enam bulan menerusi kawalan pelepasan mengikut keperluan loji rawatan air (LRA).

"Paras air empangan di Selangor dijangka kekal stabil dalam beberapa bulan akan datang melalui kawalan pelepasan air empangan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berdasarkan keperluan muka sauk LRA serta selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Musim Kering Negeri Selangor.

"Pelepasan air empangan dilaksanakan secara 'conjunctive' dengan operasi pengepaman air dari kolam sumber air alternatif mengikut kriteria yang ditetapkan bagi meningkatkan jangka hayat takungan empangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Image from: Kapasiti empangan lebih 75 peratus, sumber air mampu bertahan hingga sembilan bulan
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin bercakap kepada media selepas majlis pelancaran AED dan sesi latihan penggunaan AED di Restoran Golden Kim Wah, Damansara Kim, Petaling Jaya pada 16 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau berkata, lebih 140 kolam sumber air alternatif dan beberapa bekas lombong di bawah Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) dikenal pasti mengikut lembangan sungai untuk dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti simpanan air mentah.

Katanya pihaknya telah mengaktifkan pelan mitigasi strategik melalui pengawasan rapi LUAS bagi memastikan kestabilan bekalan air mentah di semua empangan utama negeri terus terjamin dalam mendepani risiko cuaca panas ekstrem ekoran kemuncak Monsun Barat Daya.

Dalam pada itu, Jamaliah berkata operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di Selangor dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sekiranya kapasiti empangan menurun ke paras 50 peratus.

Selain itu, bagi menjamin keselamatan operasi LRA daripada sebarang insiden pencemaran, beliau berkata pemantauan kualiti air kini diperkasakan menerusi operasi rondaan 24 jam serta pensampelan secara berterusan di lembangan sungai utama.

Katanya LUAS juga akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan berisiko seperti kawasan perindustrian bagi memastikan tiada pelepasan efluen yang tidak mematuhi peraturan, khususnya ketika musim kering yang boleh meningkatkan kepekatan bahan pencemar dalam sumber air.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved