
SANDAKAN: Seramai 64 pasukan tampil ketengah bakat muda dalam sukan ragbi menerusi Karnival Ragbi 7S Sabah (Kara7S) Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung dari 17 hingga 19 Oktober di Sandakan.
Edisi keempat ini menjadi tumpuan bagi mencari bakat-bakat baharu dalam sukan ragbi, terutamanya di peringkat akar umbi dengan harapan mengembangkan potensi pemain-pemain muda untuk diketengahkan ke kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS).
Pengerusi Bersama Kejohanan, Ghouse Raqib Ibrahim menyatakan bahawa karnival ini adalah inisiatif untuk memendekkan tempoh pemilihan bakat MSSD serta memberi platform kepada pasukan-pasukan untuk bertanding di peringkat kebangsaan.
“Karnival ini adalah medan bagi pasukan untuk mencari pemain-pemain berpotensi ke MSSD dan seterusnya MSS,” tambahnya.
Dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan dengan kerjasama Eagles Rugby Club, penyertaan melibatkan pasukan dari pelbagai lokasi di Sabah dan turut dimeriahkan dengan penyertaan luar iaitu Asis RC (Kuala Lumpur), Muhibbah RC, N2 Hornets (Putrajaya) dan Scarlet Angles (Selangor).
Kara7S dirasmikan oleh Presiden Eagles Rugby Club merangkap Presiden Kesatuan Ragbi Sabah, Vela Tan. Jelasnya lagi, Kara7S kali ini menyaksikan penyertaan yang meningkat berbanding edisi ketiga yang disertai 54 pasukan.
“Peningkatan ini menunjukkan perkembangan positif dalam minat terhadap sukan ragbi di kalangan pemain muda.
“Justeru, saya berharap Kara7S ini dapat diteruskan setiap tahun dan menerapkan kesedaran kepada ibu bapa bahawa ragbi bukanlah sukan yang kasar atau merbahaya,” tambahnya.
Dengan penganjuran yang lancar dan sambutan positif, Kara7S Peringkat Kebangsaan 2025 bukan sahaja menjadi medan pertandingan, tetapi juga platform dalam membentuk mentaliti dan penerimaan masyarakat terhadap sukan ragbi sebagai sukan yang berdaya saing dan berpotensi tinggi untuk melahirkan pemain ragbi bertaraf kebangsaan.
Vela juga berharap menjadikan Kara7S sebagai satu produk sukan pelancongan di Negeri Sabah dan Sandakan khasnya untuk menarik para peminat sukan ragbi berkunjung ke daerah ini.
“Dalam mereka menyertai pertandingan, mereka juga dapat menghayati dan melawat tempat-tempat menarik di sekitar daerah Sandakan. Ini secara tidak langsung dapat membantu mempromosikan tempat dan makanan menarik di daerah Sandakan. Malah dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk kita,” jelasnya lagi.
