KOTA BHARU – Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Karangkraf Ramadan Food Drive 2026 yang berakhir di sini pada Ahad mengukir senyuman buat golongan asnaf di negeri ini menjelang sambutan Aidilfitri.
Warga emas, Siti Esah Mamat, 70, dari Kampung Tok Ku di sini yang tinggal sendirian selepas kematian suami pada 10 Ramadan tiga tahun lalu berkata, sumbangan barangan keperluan bernilai RM250 itu amat disyukurinya.
Menurutnya, selepas pemergian suaminya sambutan Aidilfitri terasa lebih sepi.
"Walaupun mempunyai seorang anak yang menetap di Pahang, saya memilih untuk menyambut hari raya sendirian di sini kerana lebih mudah untuk menziarahi kubur arwah suami.
"Saya langsung tidak memikirkan persiapan hari raya. Baju raya pun sudah lama tidak disediakan. Apabila menerima sumbangan daripada Karangkraf, ia sedikit sebanyak mengurangkan rasa sedih dan meringankan beban untuk menyambut Aidilfitri nanti," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui semasa majlis penyerahan sumbangan Program CSR Karangkraf Ramadan Food Drive 2026 melibatkan 100 penerima di Masjid Kota Jembal, Kampung Kedai Lalat di sini yang diwakili oleh Wan Normi Hasan.
Bagi ibu kepada sembilan anak, Fatimah Mat Yusof, 63, sumbangan tersebut memudahkan urusannya untuk menyediakan juadah Aidilfitri.
**media[3456601]**
Katanya, selepas berpisah dengan suami sejak 14 tahun lalu, dia membesarkan kesemua anak dengan bekerja sebagai tukang sapu.
"Walaupun kehidupan tidak mewah, saya tetap mahu anak-anak merasai kemeriahan hari raya.
"Terima kasih kepada Karangkraf kerana memilih kami menerima sumbangan ini. Sekurang-kurangnya barangan keperluan sudah tersedia," katanya.
Bapa kepada enam anak, Zakaria Mohd Sidek, 56, yang bekerja sebagai mekanik turut melahirkan rasa syukur atas sumbangan tersebut.
Menurutnya, bantuan itu membolehkan dirinya menggunakan wang yang ada untuk membeli keperluan lain seperti pakaian baharu untuk anak-anak.
Sementara itu, Imam Tua merangkap Pengerusi Masjid Kota Jembal, Ahmad Taqiyuddin Mohd Saleh berkata, pihaknya berbesar hati dan berterima kasih kepada Karangkraf serta rakan strategiknya, Nestlé Malaysia kerana memilih komuniti di kawasan berkenaan sebagai penerima.
"Kami berharap lebih banyak NGO dapat melakukan inisiatif seperti ini bagi membantu golongan asnaf, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan," katanya.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat dan Perhubungan Strategik Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, jelajah Program CSR Karangkraf Ramadan Food Drive 2026 dan Inisiatif Satu Rumah Satu Quran Karya Bestari berakhir di Kota Bharu selepas memulakan perjalanan di Lembah Klang sebelum ke Kuantan dan Kuala Terengganu.
**media[3456599]**
Menurutnya, sepanjang program tersebut, pihaknya berjaya menyantuni 1,000 keluarga daripada golongan B40 bandar serta komuniti orang kurang upaya (OKU).
"Bagi kami, program ini bukan sekadar menyerahkan kotak bantuan berisi barangan keperluan bernilai RM250, tetapi lebih kepada nilai menyantuni masyarakat.
"Kami sebagai organisasi media dan korporat mahu turun padang merasai sendiri denyut nadi masyarakat," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik, Nestlé Malaysia, yang bersama-sama menjayakan inisiatif tersebut.
Menurutnya, kerjasama itu membuktikan apabila dua entiti besar bergabung dengan niat murni, impaknya mampu meringankan beban golongan memerlukan dalam membuat persiapan Ramadan dan Syawal.
"Melihat senyuman para penerima menjadi suntikan semangat kepada kami di Karangkraf untuk terus memperkasa program ini.
"Kami berharap ia bukan sekadar acara tahunan, malah berkembang menjadi gerakan kebajikan yang lebih besar dengan penglibatan lebih banyak pihak korporat, NGO dan individu," katanya.
Tambah beliau, bantuan tersebut mungkin kelihatan kecil, namun ia mencerminkan komitmen Karangkraf untuk memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam keadaan ekonomi serba mencabar.
"Semoga sumbangan ini membawa keceriaan dan keberkatan kepada semua keluarga yang terlibat. Terima kasih Kelantan atas sambutan yang cukup bermakna ini," katanya.

