
KUALA LUMPUR - Polis menerima sebanyak 280 laporan di seluruh negara berhubung penyebaran karikatur di media sosial yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, laporan tersebut direkodkan setakat jam 5 petang semalam susulan kandungan berkenaan yang mula tular sejak 25 April lalu.
Beliau berkata, semua laporan dibuat oleh pelbagai pihak yang mengecam tindakan provokasi melampau itu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), termasuk usaha mengesan dan menahan individu yang terlibat.
Katanya, fokus utama siasatan adalah untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab mencemarkan kedaulatan institusi diraja.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Shazeli turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu siasatan, sambil memaklumkan perkembangan lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan di Bukit Mertajam semalam oleh sepasukan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan bantuan Polis Kontinjen Pulau Pinang dan MCMC.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata, polis turut merampas dua telefon bimbit Samsung dan kad SIM yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan.
Katanya, tangkapan dibuat susulan siasatan terhadap akaun Facebook “Lucas Liam” yang dipercayai memuat naik kandungan berunsur penghinaan itu pada 2 Mei lalu.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Menurut Kumar, setakat ini 12 laporan polis telah dibuat berhubung kes tersebut dan permohonan reman terhadap suspek dijangka dikemukakan hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial, khususnya membabitkan isu agama, kaum dan institusi diraja atau 3R yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
“Tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. - Getaran, 4 Mei 2026






