SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menggesa pihak polis mengambil tindakan segera terhadap individu yang terlibat dalam penyebaran kandungan berunsur penghinaan membabitkan institusi diraja dan ulama bagi memastikan perkara itu tidak terus berleluasa.
Amirudin berkata, tindakan tegas perlu diambil khususnya melibatkan isu menyentuh institusi terbabit yang disifatkan semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, institusi seperti raja dan ulama perlu dihormati serta dilindungi kerana menjadi simbol penyatuan masyarakat dan tidak seharusnya dijadikan bahan cercaan.
"Walaupun wujud perbezaan pandangan sama ada dalam politik atau perkara lain ia tidak sepatutnya sampai ke tahap penghinaan, apatah lagi melibatkan institusi tinggi seperti raja dan ulama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor di Auditorium, Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penularan imej dan kandungan yang didakwa memperlekehkan Sultan Selangor di media sosial.
Amirudin menegaskan, langkah kerajaan dalam memberi perhatian terhadap isu melibatkan kaum, agama dan institusi diraja (3R) adalah wajar meskipun pernah dikritik sebelum ini.
"Kesannya kini jelas dan perlu ditangani dengan serius. Saya berharap tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka yang terlibat," jelas beliau.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas tindakan pantas mengesan individu berkaitan dan berharap tindakan lanjut dilaksanakan dengan tegas.
Terdahulu, polis Selangor mengesahkan telah menerima 280 laporan dari seluruh negara berhubung penularan satu karikatur di media sosial yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap Sultan Selangor pada 25 April lalu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, laporan polis diterima daripada pelbagai pihak yang mengecam tindakan provokasi berkenaan.
Pada Ahad lalu, seorang lelaki berusia 30-an ditahan di kawasan Bukit Mertajam, Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung hantaran gambar berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor, dimuat naik melalui akaun Facebook.
Penahanan lelaki itu dibuat kira-kira jam 7.10 malam Ahad oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).





