
SHAH ALAM, 26 OGOS: Kira-kira 600 Orang Asli dari seluruh negeri menyertai Karnival Jalinan Kasih Orang Asli Selangor 2024 anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Kampung Orang Asli Kolam Air Bangkong, Sepang, kelmarin.
Jais memaklumkan, program dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dianjur bagi menyantuni komuniti terbabit tanpa mengira latar belakang.
“Karnival itu diadakan bertujuan menyantuni seluruh suku kaum Orang Asli di Selangor tidak kira Islam mahupun belum Islam.

“Pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti Trunk Wow, Soopa Doopa, badut dan belon, pertunjukan silap mata, jualan usahawan Orang Asli dan reruai agensi kerajaan,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Jais, karnival yang disempurnakan Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad turut menganjur pertandingan kerohanian seperti hafazan, tilawah al-Quran, nasyid dan azan.
Tambah agensi itu, saingan antara saudara baharu Orang Asli bertujuan memberi galakan serta motivasi diri selain mengasah bakat dan ilmu yang diperoleh peserta.
“Moga dengan terlaksananya program sebegini dapat menyebarluaskan lagi usaha dakwah khususnya kepada masyarakat Orang Asli di seluruh Selangor,” katanya.


The post Karnival anjuran Jais disertai 600 Orang Asli, jualan, nasyid antara pengisian appeared first on Selangorkini.

