amree12/11/2026 - 16:55 SAIPOLYAZAN M Yusop (kiri) mengiringi Jamaliah Jamaluddin (dua dari kiri) pada perasmian penutup Karnival Ban Canal 2026 di Sabak Bernam, Selangor. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov — Lebih 38,000 pengunjung memeriahkan Karnival Ban Canal 2026 di Sabak Bernam, sekali gus menjana hampir RM125,000 hasil jualan langsung kepada seramai 34 peniaga tempatan dan perusahaan mikro dalam tempoh tiga hari penganjurannya.
Karnival yang berlangsung dari 6 hingga 8 November 2026 di Ban Canal Parit 14, Simpang Lima itu membuktikan potensi pelancongan luar bandar sebagai pemangkin ekonomi komuniti, khususnya melalui penglibatan usahawan kecil dan pengusaha produk tempatan.
Dianjurkan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam serta Majlis Daerah Sabak Bernam, program tersebut merupakan inisiatif di bawah kerangka Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA).
Bertemakan 'Alam, Budaya, Lestari', karnival itu mengetengahkan Ban Canal, terusan sepanjang 45 kilometer yang asalnya dibina bagi menyokong kawasan pertanian Selangor, selain kedudukannya dalam zon pencalonan Rizab Biosfera UNESCO Anjung Utara Selangor (AUSBR).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Ts Saipolyazan M Yusop berkata, penganjuran itu menyokong usaha SABDA membangunkan pelancongan luar bandar dan agropelancongan secara mampan, dengan komuniti setempat memainkan peranan aktif dalam kegiatan ekonomi.
"Edisi kali ini mencatat pencapaian bersejarah apabila buat pertama kali menampilkan sukan air bertaraf antarabangsa menerusi kerjasama Persatuan Kanu Selangor, dengan penyertaan atlet Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Afghanistan dan Somalia," katanya dalam kenyataan.

Selain aktiviti sukan, karnival itu menyediakan ruang perniagaan menerusi pameran usahawan Platform Selangor (PLATS) dan Jualan Eko Tani, selain penglibatan industri desa serta pengusaha inap desa bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan kepada pengunjung.
Pengunjung turut diperkenalkan dengan warisan makanan dan budaya Sabak Bernam menerusi hidangan seperti nasi ambeng dan kuih tradisional, selain aktiviti pembuatan dodol, permainan rakyat serta persembahan kebudayaan di Perkampungan Hos Komuniti Setempat.
Antara tarikan lain termasuk Project Strong Ban Canal, papan dayung berdiri, Larian Warisan Alam, panjat dinding, flying fox, tarik tali, pertandingan SABDA Idol serta pelbagai aktiviti keluarga seperti mewarna, melukis batik, congkak dan pertandingan busana tradisional.
"Majlis penutupan rasmi disempurnakan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin yang menyifatkan penyertaan 34 usahawan PLATS dan 20 peniaga produk tempatan di bawah Persatuan Eko Tani sebagai positif," kata kenyataan MBI Selangor.
Penganjuran carnival itu mencerminkan usaha MBI Selangor menghubungkan potensi pelancongan dan warisan Sabak Bernam dengan peluang pendapatan komuniti, selaras aspirasi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) untuk memastikan pembangunan lebih seimbang serta manfaat pertumbuhan ekonomi negeri dapat dinikmati masyarakat luar bandar. - DagangNews.com






