
PELAKON popular India, Vijay Deverakonda berdepan kecaman netizen selepas kemunculannya bersama isteri, Rashmika Mandanna dalam program bual bicara terkenal, Koffee With Karan musim kesembilan.
Penampilan pasangan selebriti itu mencetuskan perdebatan hangat dalam media sosial apabila segelintir penonton mempersoalkan sikap Vijay ketika berbicara mengenai hubungan cinta dan perkahwinannya dengan Rashmika.
Netizen turut melabelkan Vijay sebagai lelaki ‘red flag’ susulan beberapa kenyataannya mengenai perkahwinan seolah-olah memperlihatkan sikap angkuh dan kurang menghargai Rashmika.
Antara perkara yang mencuri perhatian ialah pengakuan Rashmika bahawa dia pernah mengajak Vijay berkahwin ketika mereka berada di lapangan terbang dan beratus kali mengulangi perkara sama.
Rashmika turut mendedahkan bahawa dia mengambil masa kira-kira setahun untuk mengajak Vijay berkahwin sebelum pelakon itu akhirnya bersetuju.
“Saya bertanya soalan tentang kahwin setiap hari selama setahun,” dedah Rashmika.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi apabila ada penonton berpendapat situasi berkenaan menggambarkan Rashmika lebih bersungguh-sungguh dalam perhubungan itu.
Malah, sebahagian netizen turut mempersoalkan ketulusan hubungan pasangan itu, selain mengkritik cara Vijay menceritakan pengalaman berkenaan di hadapan hos program, Karan Johar.
“Dia lelaki ‘red flag’. Sikapnya sama seperti dalam filem lakonannya Arjun Reddy. Saya rasa kasihan dengan Rashmika. Dia nampak bersungguh-sungguh mencintai Vijay. Sebaliknya Vijay seperti acuh tak acuh,” komen netizen.
Netizen turut membongkar video-video pasangan itu untuk mencari bukti kesahihan dakwaan mereka. Ada video yang memaparkan Vijay berjalan di hadapan meninggalkan isterinya di belakang. Ada juga video yang menunjukkan Rashmika sedang merapikan misai suaminya, tetapi aktor itu langsung tidak memandang wajah isterinya.
Menyedari kisah mereka berdua semakin hangat diperdebatkan, pasangan itu tampil memberi kenyataan dalam akaun media sosial masing-masing.
“Kami berdua sangat bahagia. Rashmika rakan baik saya, isteri saya, wanita saya. Salah satu perkara paling indah dalam hidup yang saya rasa telah lakukan dengan betul,” tulisnya.
Vijay turut menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai masalah dalam perhubungan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Kepada semua yang mengambil berat, kami berdua sangat bahagia. Saya bersyukur,” tulisnya.
Bagaimanapun, pelakon itu tidak berselindung menyatakan rasa kurang senang terhadap individu yang terus mencampuri urusan peribadinya.
“Jika ini bermakna saya dan dia menentang seluruh dunia, biarlah begitu.
“Orang lain boleh pergi jahanam,” tulisnya.
Sementara itu, Rashmika turut membidas tanggapan negatif terhadap hubungannya dengan Vijay dengan menegaskan orang luar tidak mengetahui keseluruhan perjalanan cinta mereka.
Menurut Rashmika, Vijay mahu mereka mengambil masa dan ruang untuk benar-benar memahami satu sama lain sebelum membuat keputusan besar dalam hidup.
“Ia bukan tentang berapa ratus kali atau setahun. Berkahwin bukan perkara main-main. Memilih pasangan hidup bukan sesuatu yang mudah. Dan, kami melakukannya. Kami memilih satu sama lain,” tulisnya.
Rashmika turut menegaskan bahawa dia tidak menyesali keputusan berkahwin dengan Vijay, malah menyifatkan dirinya kini sangat bahagia.
“Saya bahagia. Apa yang boleh saya katakan, saya rasa cukup dengan apa yang saya miliki sekarang. Saya diberkati.
“Vijay sentiasa berada di sisi saya saat susah dan senang, malah dia masih bersama saya sekarang. Bukannya kalian,” tulisnya.
Pasangan itu turut membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa jenayah siber di Hyderabad berhubung dakwaan kandungan palsu, tangkap layar yang dimanipulasi, penyamaran identiti dan gangguan terancang di media sosial.
Vijay dan Rashmika mendirikan rumah tangga pada Februari 2026 di Udaipur, India, selepas hubungan mereka menjadi perhatian peminat selama beberapa tahun.
The post Kasihan Rashmika, Vijay Devarakonda lelaki red flag – Netizen appeared first on Kosmo Online.

